HANOI, Vietnam, 16 Januari 2026 – Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) menyambut baik penerimaan Pelan Induk Digital ASEAN 2026–2030 (ASEAN Digital Masterplan 2030) serta penubuhan Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN, dengan sekretariatnya akan beroperasi di Kuala Lumpur.
Perkembangan ini dicapai susulan kejayaan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-6 (6th ADGMIN) dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 12 hingga 16 Januari 2026 di Hanoi, Vietnam, bertemakan “Adaptive ASEAN: From Connectivity to Connected Intelligence”.
Pelan Induk Digital ASEAN 2030 yang diterima pakai ini menjadi tonggak utama integrasi digital serantau ASEAN, selari dengan visi membangunkan komuniti digital yang inklusif, dipercayai dan inovatif. Pelan ini akan menjadi panduan dalam pengemaskinian strategi digital nasional negara-negara anggota ASEAN bagi memastikan penyelarasan serantau yang lebih kukuh serta pelaksanaan yang berimpak tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, para Menteri Digital ASEAN turut menerima pakai Deklarasi Penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, yang sebelum ini telah diluluskan oleh Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 2025.
Penubuhan rangkaian ini disifatkan sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen ASEAN dalam memajukan teknologi kecerdasan buatan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab. Rangkaian Keselamatan AI ASEAN akan berfungsi sebagai platform serantau untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek pembangunan kapasiti, kesiapsiagaan peraturan serta langkah-langkah perlindungan, bagi memastikan inovasi AI terus berkembang tanpa mengabaikan risiko dan potensi penyalahgunaan.
Malaysia turut mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai negara tuan rumah kepada Sekretariat Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, yang akan berpusat di Kuala Lumpur. Penempatan sekretariat ini mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam menyokong keutamaan digital ASEAN serta memperkukuh tadbir urus digital serantau yang dipercayai.



