Hanya berlangsung selama dua hari, Royale Chulan Seremban berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 kanak-kanak dan ibu bapa sempena Children’s Day Festival 2025 atau Festival Hari Kanak-Kanak 2025, yang menampilkan pelbagai aktiviti hiburan dan permainan keluarga.

Acara tahunan kali kedua itu telah diadakan di Royale Chulan Seremban, Negeri Sembilan dari 22 hingga 23 November 2025, sekali gus menjadi antara acara yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa dan kanak-kanak untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dalam suasana ceria dan santai.
Pengurus Besar Royale Chulan Seremban, Abd Halim Md Yusof, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan aktif kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti menarik, antaranya pertandingan mewarna, treasure hunt, pertandingan fesyen tradisional serta pertandingan nyanyian.
“Penganjuran pada tahun ini menyasarkan hampir 2,000 pengunjung, namun sambutan yang diterima ternyata jauh lebih memberangsangkan berbanding tahun lalu. Apa yang lebih menggembirakan, jumlah rakan strategik turut bertambah sekali gus membolehkan lebih banyak hadiah serta cabutan bertuah disediakan kepada para peserta,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran Children’s Day Festival 2025 merupakan manifestasi komitmen Royale Chulan Seremban untuk terus berperanan sebagai sebuah hotel yang bukan sahaja menawarkan pengalaman penginapan bertaraf premium, malah turut aktif sebagai sebahagian daripada komuniti setempat.
“Kanak-kanak merupakan aset masa depan negara dan kami percaya penganjuran program seperti ini mampu menyemai nilai kasih sayang, kreativiti serta kebersamaan dalam institusi kekeluargaan. Melihat sambutan positif terhadap program komuniti sebelum ini, kami merasakan sudah tiba masanya untuk meraikan generasi muda dengan pendekatan yang lebih meriah dan bermakna,” katanya lagi.
Menurutnya, matlamat utama penganjuran festival ini adalah untuk mewujudkan satu platform yang menggabungkan elemen pendidikan, hiburan dan kekeluargaan dalam suasana yang ceria dan selamat.
“Sebagai sebuah hotel yang memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan dan hospitaliti di Negeri Sembilan, kami ingin menunjukkan bahawa peranan kami tidak terhad kepada perniagaan semata-mata, sebaliknya turut menyumbang dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat,” jelasnya.
Ujar beliau, penganjuran acara ini juga membuka peluang kepada Royale Chulan Seremban untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan emosi kanak-kanak melalui aktiviti yang menyeronokkan serta berfaedah.



