KUALA LUMPUR, 11 Feb 2026 – Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) hari ini mengumumkan pelancaran Manifesto Rakyat 2.0 (MR2.0), satu inisiatif nasional bagi mengumpul suara dan pandangan rakyat secara menyeluruh sebagai rujukan utama kepada parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada penglibatan akar umbi dengan menghimpunkan maklum balas komuniti, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan orang awam berhubung isu-isu semasa, keperluan rakyat serta cadangan pembaharuan dasar.
Menurut GBM, edisi terdahulu Manifesto Rakyat yang dilancarkan sebelum PRU15 pada 2022 berjaya menjadi penanda aras kepada beberapa komitmen reformasi kerajaan. Bagaimanapun, beberapa dasar penting masih dalam kajian dan belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Walaupun ada pembaharuan seperti kewarganegaraan untuk kanak-kanak kelahiran luar negara dan pemisahan kuasa Pendakwa Raya telah diluluskan, banyak lagi janji masih belum menjadi kenyataan,” kata wakil GBM.


Libat urus enam bulan, suara rakyat diutamakan
Bermula Februari hingga Julai 2026, GBM bersama rakan strategik akan menjalankan siri:
perbincangan kumpulan fokus
forum komuniti
jelajah lapangan
temu bual
kaji selidik rakyat
Pendekatan ini bertujuan memastikan cadangan yang dikemukakan benar-benar mencerminkan realiti kehidupan rakyat di bandar, luar bandar serta Sabah dan Sarawak, termasuk golongan terpinggir.
Hasil libat urus tersebut akan dirumuskan dalam dokumen akhir Manifesto Rakyat 2.0, yang akan diterbitkan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Empat teras utama jadi fokus
Manifesto kali ini disusun berasaskan empat tonggak utama:
Rakyat dan Masyarakat
Hak Rakyat
Kesejahteraan Rakyat
Institusi Rakyat
Selain itu, beberapa isu baharu turut diberi perhatian seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), tarif perdagangan, keselamatan sumber strategik, perumahan, warga emas, pertahanan dan keselamatan negara serta pembangunan ekonomi dan keadilan sosial.
Isyarat jelas kepada parti politik
GBM menegaskan Manifesto Rakyat bukan sekadar dokumen cadangan, sebaliknya menjadi alat akauntabiliti untuk memastikan parti politik menunaikan janji mereka.
“Pengundi kini semakin bijak. Jika janji manifesto tidak ditunaikan, mereka tidak teragak-agak untuk menarik balik sokongan,” tegasnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang idea dan pandangan boleh mengisi borang kaji selidik yang disediakan secara dalam talian.
Dengan pelancaran ini, GBM berharap suara rakyat terus menjadi nadi utama dalam menentukan hala tuju dasar negara, sekali gus memastikan pembangunan Malaysia lebih inklusif dan berteraskan keperluan sebenar masyarakat.



