Kuala Lumpur — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan pemakaian pelitup muka tidak akan diwajibkan seperti ketika pandemik COVID-19 bagi mengekang penularan penyakit tuberkulosis (tibi).
Sebaliknya, kementerian percaya pendekatan berasaskan tanggungjawab dan perlindungan kendiri lebih sesuai dalam situasi semasa. Amalan kesihatan awam yang diperkukuh ketika pandemik lalu masih digalakkan, khususnya bagi mencegah jangkitan saluran pernafasan yang merebak melalui udara dan sentuhan.
Pemakaian pelitup muka disaran kepada individu bergejala seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak, selain mereka yang berada di kawasan sesak, ruang tertutup kurang pengudaraan, atau mengunjungi fasiliti kesihatan. Ia juga digalakkan ketika berinteraksi dengan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dan pesakit kronik.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata 85 peratus kes tibi di Malaysia membabitkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus melibatkan warga asing — sekali gus menepis tanggapan bahawa penyakit itu berpunca daripada kemasukan warga luar.
Beliau menegaskan tibi bukan fenomena baharu, sebaliknya penyakit endemik yang memerlukan perhatian berterusan semua pihak.



