SEREMBAN, 9 Mac — Rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Teluk dinasihatkan supaya segera memaklumkan kepada pihak kedutaan sekiranya telah memperoleh tempat dalam penerbangan pulang ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan mengemas kini data rakyat Malaysia di luar negara selain memudahkan urusan pemantauan oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara serta agensi berkaitan sentiasa memantau perkembangan keselamatan di negara-negara Teluk dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah, keadaan keselamatan di sana dilihat semakin pulih dan ruang udara juga dibuka secara berperingkat. Syarikat penerbangan sudah mula menyambung semula perkhidmatan ke Arab Saudi, Qatar dan Dubai, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia yang terkandas pulang dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan Ramadan di Dewan Orang Ramai Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini hari ini.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Arab Saudi atas bantuan yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang negara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan masih terdapat beberapa individu yang belum dapat dihubungi oleh pihak kedutaan kerana dipercayai telah menaiki penerbangan pulang.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang telah memperoleh tempat duduk penerbangan, khususnya dari Jeddah, Madinah, Dubai, Doha dan Abu Dhabi, diminta memaklumkan perkara tersebut kepada kedutaan bagi memudahkan Wisma Putra menguruskan baki rakyat Malaysia yang masih terkandas.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk ke negara-negara Teluk, termasuk bagi menunaikan umrah, supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar stabil.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau itu turut menyampaikan bantuan Ramadan kepada kira-kira 3,500 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan peruntukan melebihi RM600,000, melibatkan warga emas serta golongan asnaf.



