TOKYO, 10 Mac 2026 – Malaysia menyasarkan potensi nilai jualan sehingga RM80 juta menerusi penyertaan dalam International Food and Beverage Exhibition (FOODEX Japan 2026) yang berlangsung di Tokyo Big Sight, Jepun dari 10 hingga 13 Mac 2026.
Seramai 31 syarikat dan tiga koperasi Malaysia dibawa menyertai misi perdagangan antarabangsa ini bagi memperluas pasaran produk makanan dan minuman tempatan ke peringkat global.
FOODEX Japan merupakan pameran makanan dan minuman terbesar di Asia, menghimpunkan lebih 3,000 pempamer dari 80 negara, sekali gus membuka peluang luas kepada usahawan Malaysia untuk menembusi pasaran premium antarabangsa.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, dengan kerjasama beberapa agensi di bawah kementerian termasuk SME Corp Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Misi perdagangan ini turut disokong oleh agensi strategik lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperkukuh penyertaan usahawan tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Jepun merupakan antara pasaran premium dunia yang menuntut standard produk berkualiti tinggi, dan kejayaan menembusi pasaran tersebut mampu meningkatkan kredibiliti serta daya saing produk Malaysia di peringkat global.
Menurut beliau, penyertaan ini juga selari dengan strategi ABCD KUSKOP iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran, yang menjadi kerangka utama dalam memperkasa usahawan tempatan.
Sepanjang pameran berlangsung, delegasi Malaysia turut dijadual mengadakan sesi pertemuan strategik bersama ASEAN-Japan Centre (AJC) bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun pada masa hadapan.
Pelaksanaan misi perdagangan ini merupakan sebahagian daripada usaha negara menyokong agenda Malaysia MADANI, khususnya dalam memperluas jaringan ekonomi, memperkukuh perdagangan dua hala serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat antarabangsa.



