Raja dan Rakyat Bersatu di Syawal: Sultan Perak cemar Duli Meriahkan Sambutan Aidilfitri Negeri

IPOH, 21 Mac 2026 — Suasana penuh kemeriahan dan keakraban jelas terpancar apabila DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak 2026 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia.

YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad

Turut berangkat, DYMM Tuanku Zara Salim bersama barisan kerabat Diraja Perak, menyerikan lagi sambutan yang menghimpunkan ribuan rakyat dalam suasana penuh harmoni.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad serta barisan kepimpinan negeri, mencerminkan kesatuan erat antara institusi diraja dan pentadbiran negeri. Dalam ucapannya, Saarani menyeru rakyat agar menghayati makna sebenar Syawal dengan memperbetulkan niat, menjauhi perpecahan serta mengutamakan perdamaian. Beliau turut mengingatkan bahawa di sebalik kegembiraan yang dikecapi, masih ramai di dunia yang berdepan konflik, kelaparan dan ketakutan.

“Pilihlah untuk memahami, bukan memusuhi; mendamaikan, bukan memecahbelahkan,” katanya penuh bermakna.

Sebagai tanda keprihatinan, baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada beberapa rumah kebajikan, menceriakan golongan yang memerlukan.

Lebih 20,000 pengunjung memeriahkan sambutan dengan pelbagai juadah tradisional seperti kambing golek, lemang rendang dan hidangan popular lain, menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini bukan sahaja meriah, malah sarat dengan nilai kebersamaan dan kesyukuran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *