KESUMA bakal umum inisiatif sokongan krisis ekonomi bagi tangani ketidaktentuan pasaran buruh

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melancarkan satu siri inisiatif sokongan krisis bersasar bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada tekanan geopolitik semasa.


Menurut Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, langkah proaktif ini adalah susulan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara yang menyaksikan sebanyak 5,900 rakyat Malaysia
diberhentikan kerja pada bulan Mac lepas, dengan pekerja di Selangor dan Kuala Lumpur menjadi golongan yang paling teruk terjejas.


“Sebagai langkah proaktif Kerajaan MADANI menerusi KESUMA, beberapa inisiatif sokongan krisis yang
komprehensif akan diumumkan sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei nanti.


“Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja melalui intervensi yang lebih
dinamik, termasuklah penambahbaikan kepada Akta 800 (Akta Sistem Insurans Pekerjaan) sedia ada.


“Penambahbaikan ini dijangka akan memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada pekerja,
merangkumi aspek perlindungan sosial serta akses yang lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).


“Usaha ini merupakan langkah kritikal pihak kementerian untuk mempercepatkan proses penempatan
semula pekerja ke dalam sektor pekerjaan yang lebih stabil sekali gus mengurangkan tekanan terhadap
pasaran buruh negara,” katanya ketika ditemui dalam lawatan tapak ke Karnival Kerjaya Premium
MYFutureJobs 2026 yang berlangsung pada 25 hingga 26 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
(KLCC).


Ramanan memaklumkan, selain fokus kepada pekerja yang terjejas, KESUMA juga akan menggerakkan program jelajah yang akan diketuainya ke universiti-universiti di seluruh negara.


“Siri jelajah ini merupakan bukti komitmen KESUMA dalam mendekati bakal graduan bagi memahami
cabaran yang mereka hadapi dalam persediaan menempuhi alam pekerjaan dalam landskap ekonomi
yang mencabar.


“Sesi dialog secara langsung, bimbingan kerjaya, dan padanan pekerjaan akan disediakan sepanjang
jelajah ini bagi memastikan bakat tempatan kekal relevan dengan kehendak industri serta mempunyai
daya tahan yang tinggi dalam menghadapi sebarang perubahan ekonom,” tambahnya lagi.


Selain itu dalam usaha berterusan untuk merancakkan pasaran buruh, KESUMA menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut memperkasakan ekosistem penempatan pekerjaan melalui
penganjuran Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang juga antara acara kick-off untuk sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.


Karnival ini menjadi platform strategik yang berkesan dalam menghubungkan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.


Berdasarkan rekod terkini, seramai 799 individu telah berjaya memperoleh pekerjaan sepanjang karnival
kerjaya premium berlangsung sempena sambutan Hari Pekerja 2026.

Daripada jumlah tersebut, beberapa orang telah berjaya ditempatkan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti KPJ Healthcare, APPAR Technologies, UOS Group dan Habib Group dengan tawaran gaji bermula daripada RM 3000 sehingga RM 15000.


Mengimbas kejayaan penganjuran pada tahun lalu, karnival ini telah mencatatkan kehadiran melebihi
10,000 pengunjung, termasuk 6,311 pencari kerja.

Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan serta menunjukkan tahap keberhasilan yang memberangsangkan dengan kadar impak positif sebanyak 52%. Lebih signifikan, seramai 2,384 pencari kerja telah berjaya memperoleh pekerjaan
hasil penyertaan dalam karnival premium pada tahun 2025.


Platform MYFutureJobs kini berperanan sebagai ekosistem sokongan menyeluruh yang menggabungkan perkhidmatan padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, dan sesi temu duga secara terus bagi
mengurangkan isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh.


Bagi orang ramai yang terlepas peluang pada karnival kali ini, anda dijemput untuk hadir ke Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026 dan Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu pada 9 Mei 2026.


Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan
https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *