BANDA HILIR, 9 Mei 2026 — Kementerian Perpaduan Negara terus memperkukuhkan agenda perpaduan nasional menerusi penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Zon Selatan 2026 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.


Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, sambutan tersebut menjadi wadah yang menghubungkan rakyat melalui pengalaman bersama sekali gus memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di negara ini.
Menurut beliau, Sambutan Minggu Perpaduan memainkan peranan sebagai sebuah shared civic space atau ruang sosial yang menyatukan rakyat untuk berinteraksi, saling memahami dan membina semangat kebersamaan sebagai satu negara bangsa.Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Selatan 2026 dan Arkib Komuniti Peringkat Kebangsaan yang turut dianjurkan serentak sempena program berkenaan.
Dalam pada itu, kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara turut memperkenalkan inisiatif Arkib Komuniti sebagai usaha memasyarakatkan arkib dan menggalakkan masyarakat mengumpul bahan sejarah setempat.Inisiatif tersebut bertujuan mengisi jurang maklumat sejarah selain memupuk semangat menghargai warisan bersama dalam kalangan rakyat.Aaron turut menyeru masyarakat tanpa mengira latar belakang agar menyumbang koleksi komuniti kepada Arkib Negara bagi memperkayakan khazanah negara serta memperkukuhkan identiti dan jati diri bangsa.
Katanya, pendekatan itu juga membuka ruang kerjasama lebih luas antara Arkib Negara dan komuniti dalam aspek pendokumentasian, penyimpanan serta pemeliharaan khazanah negara.Sementara itu, pengunjung yang hadir ke Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Selatan 2026 turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Arkib Komuniti@Khazanah Kita, Eksplorasi Memorial@Negara Bangsa, pameran Arkib Komuniti@Rumah Kami, Arkib Komuniti@Sukan Rakyat serta jualan FoodUnites.
Program berkenaan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat dan memupuk semangat keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.



