KL Street Arts Festival 2026 Bakal Hidupkan Dataran Merdeka Dengan Ledakan Seni Urban & Budaya Kreatif

KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka bakal berubah wajah menjadi hab seni urban penuh warna-warni menerusi penganjuran KL Street Arts Festival 2026 yang akan berlangsung pada 20 Jun 2026 dari jam 12 tengah hari hingga 11 malam di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Sidang Media

Festival berskala besar ini bakal menghimpunkan komuniti seni jalanan, pemuzik independen, pengkarya kreatif dan pencinta budaya urban dalam satu acara yang meraikan kreativiti, bakat tempatan serta semangat seni bebas tanah air.


Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang festival termasuk persembahan seni visual, muzik jalanan dan buskers, street performers, reruai seni dan kraftangan, seminar kreatif, perkongsian seni serta aktiviti interaktif yang dijangka menarik ribuan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Menjelang malam, suasana festival akan terus hangat menerusi KL Street Jam yang menampilkan deretan penghibur dan penggiat muzik alternatif tempatan yang cukup sinonim dengan budaya jalanan.
Antara artis yang bakal menghiburkan pengunjung ialah Baba Andy, Maman Teacher’s Pet, Aru Peruzza, Muzza’s Velvettones selain persembahan khas daripada Artis & Kombo Budaya DBKL yang dijangka menambahkan lagi kemeriahan suasana sepanjang acara berlangsung.

Bukan sekadar hiburan, festival ini turut menjadi platform perkongsian ilmu menerusi sesi seminar dan forum seni yang menampilkan beberapa tokoh kreatif tempatan.
Antara panel yang dijadual hadir termasuk pengkarya khat terkenal asal Mesir, Cheb Ali, penghibur seni badut senior tanah air Mr Labu serta Yosh Studio yang bakal berkongsi teknik dan seni origami menerusi sesi klinik kreatif khas kepada pengunjung.

Pelbagai topik menarik berkaitan seni urban, budaya jalanan, kreativiti visual dan perkembangan industri seni bebas tempatan akan diketengahkan sepanjang sesi perkongsian berlangsung.
Dalam masa sama, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut mengambil bahagian dengan membawa mesej kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan belia dan komuniti seni.
Melalui kerjasama bersama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), AADK dijangka melancarkan kempen khas “Muzik Tanpa Dadah” bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan bebas dadah melalui pendekatan seni dan muzik.

Festival ini juga akan disertai hampir 20 pempamer seni dan kraftangan tempatan yang bakal mempersembahkan pelbagai hasil karya kreatif kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Menurut penganjur, festival berkenaan bukan sahaja bertujuan mengetengahkan bakat seni jalanan tempatan, malah mahu memperkukuhkan imej Kuala Lumpur sebagai bandar seni yang aktif, progresif dan dekat dengan komuniti.

Penganjuran acara itu turut diharap dapat menjadi platform pembangunan ekosistem seni urban yang lebih mampan selain membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan untuk terus berkarya dan berkembang.
KL Street Arts Festival 2026 turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha memperkasakan budaya seni jalanan serta menyediakan ruang lebih luas kepada penghibur dan pengkarya bebas untuk menyerlahkan bakat mereka.

Sokongan daripada Yayasan Hasanah menerusi inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS) turut memainkan peranan penting dalam menjayakan festival berkenaan. ArtsFAS merupakan platform geran tahunan yang memberi sokongan kepada usaha memelihara, meraikan dan memperkukuhkan seni, budaya dan warisan Malaysia menerusi bantuan dana, ruang persembahan dan peluang ekonomi kepada penggiat seni tempatan.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan festival yang terbuka secara percuma kepada semua pengunjung sambil menikmati pengalaman seni urban yang unik, santai dan penuh inspirasi di tengah ibu kota.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *