Kerjasama dengan IPB University, Indonesia disokong biasiswa RM1.2 juta bagi pengambilan 2027
KUALA LUMPUR, 23 Oktober — Kekurangan doktor veterinar di Malaysia mendorong Goon International College (GIC) memperluas peluang pendidikan dalam bidang berkenaan menerusi kerjasama strategik dengan IPB University, Indonesia.

Inisiatif itu menyediakan laluan pengajian berstruktur kepada pelajar Malaysia yang bercita-cita menjadi doktor veterinar, sekali gus menambah pilihan bagi mereka yang ingin menceburi profesion berkaitan kesihatan dan kebajikan haiwan.

Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada program Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar di Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan IPB University yang berlangsung selama lima tahun.
Menurutnya, program berkenaan dinyatakan setaraf dengan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala graduan boleh memohon pendaftaran dengan Majlis Veterinar Malaysia (MVC), tertakluk kepada syarat dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata, IPB University dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, pengiktirafan antarabangsa serta kemudahan latihan klinikal yang mampu menyokong pembangunan bakal profesional veterinar.
“Melalui kerjasama ini, kami mahu menjadikan laluan ke bidang perubatan veterinar lebih mudah diakses oleh pelajar Malaysia, selain membantu mereka merealisasikan cita-cita dalam profesion yang semakin diperlukan negara,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama berkenaan di sini.


Keperluan untuk memperluas peluang pendidikan itu semakin ketara apabila Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron sebelum ini mendedahkan Malaysia mengalami kekurangan lebih 5,900 doktor veterinar.
Menurut beliau, negara mempunyai kira-kira 2,600 doktor veterinar aktif berbanding anggaran keperluan sebanyak 8,500 orang.
Jurang berkenaan menunjukkan pentingnya usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional bagi menyokong sektor kesihatan haiwan, penternakan dan keselamatan makanan.
Prabagaran berkata, Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan IPB University turut berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi bidang Sains Veterinar menurut QS World University Rankings by Subject.
Selain mengikuti pembelajaran akademik, pelajar juga berpeluang memperoleh pendedahan praktikal melalui Hospital Haiwan Pengajaran IPB University (RSHP), termasuk dalam bidang pembedahan, perubatan dalaman, diagnostik serta penjagaan kesihatan haiwan.
Bagi mengikuti laluan yang diperkenalkan itu, pelajar Malaysia perlu menamatkan Program Asasi GIC terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajian di IPB University.
Prabagaran berkata, pendekatan berkenaan dijangka memberi alternatif kepada pelajar yang berminat dalam bidang veterinar, khususnya mereka yang menghadapi persaingan untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi tempatan.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh akses kepada pendidikan, GIC turut menawarkan biasiswa berjumlah RM1.2 juta kepada pelajar Program Asasi yang cemerlang dan memenuhi syarat bagi pengambilan 2027.
Inisiatif itu bertujuan membantu pelajar berpotensi meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping meringankan beban kewangan dalam usaha mendapatkan kelayakan profesional.
“Malaysia memerlukan lebih ramai doktor veterinar berkelayakan untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor. Kami berharap kerjasama dengan IPB University, bersama sokongan biasiswa ini, dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang berpotensi,” katanya.
Kerjasama itu dijangka menjadi antara usaha jangka panjang untuk memperluas akses pendidikan veterinar kepada pelajar Malaysia, di samping menyokong pembangunan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri kesihatan haiwan dan sektor berkaitan.



