Dapur Goodday Musim Kedua Kembali, Angkat Konsep ‘Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli’

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2026 – Program realiti drama masakan pertama seumpamanya di Malaysia, Dapur Goodday, kembali dengan musim kedua yang lebih dinamik dan interaktif sempena Ramadan tahun ini.


Program terbitan Astro itu akan mula bersiaran pada 18 Februari, setiap 5.30 petang di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan portal Astro Gempak.


Dari Skrin ke Pinggan Meneruskan konsep unik ‘Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli’, penonton bukan sahaja menyaksikan hidangan di kaca televisyen, malah berpeluang menikmati sendiri menu yang sama di dunia sebenar.


Setiap hidangan yang dipaparkan dalam episod harian akan dijual kepada orang ramai di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada keesokan harinya. Lebih menarik, menu di bazar akan berubah setiap hari mengikut sajian yang disiarkan, sekali gus menjadikan pengalaman Ramadan lebih interaktif dan segar buat pengunjung.


Inisiatif ini memperkukuh konsep “dari skrin ke pinggan”, menghubungkan dunia hiburan dan kulinari dalam satu pengalaman unik sepanjang bulan Ramadan.


Watak Ikonik Inspektor Sani Kembali
Selepas kejayaan musim pertama Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tujah vs Che Ton, musim kedua tampil dengan pendekatan lebih segar menerusi kemunculan watak ikonik Inspektor Sani daripada filem pecah panggung Polis Evo, yang dijayakan oleh Zizan Razak sebagai watak utama.
Dalam musim terbaharu ini, Inspektor Sani menjalankan operasi penyamaran sebagai peniaga makanan di Kampung Hari Baik bagi menjejaki Capik, seorang dalang dadah yang licik.


Dibantu pegawai Gen Z yang bijak dan serba guna, Inspektor Sani menggunakan hidangan viral ciptaannya, ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’, sebagai “senjata” untuk mendekati penduduk kampung, mencuri hati mereka serta meraih kepercayaan komuniti setempat. Di sebalik gelak tawa dan interaksi mesra, terselit strategi halus bagi mengesan dan membongkar lokasi persembunyian Capik.


Hidangan Signature Ramadan
Keunikan Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani turut terserlah apabila setiap resipi menggunakan susu Goodday sebagai ramuan utama, menghasilkan sajian yang lebih berkrim dan kaya rasa.
Hidangan istimewa musim ini, ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’, diinspirasikan daripada cita rasa tempatan yang diperkaya dengan sentuhan susu Goodday, menjadikannya menu signature eksklusif Ramadan.
Sebagai tawaran pengenalan, hidangan tersebut ditawarkan pada harga promosi serendah RM0.99 untuk seekor ayam bagi dua hari terawal Ramadan.


Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Justina Raja Arshad, kejayaan musim pertama menjadi pemangkin untuk tampil dengan skala dan pendekatan lebih dinamik bagi musim kedua, selain memperluaskan pengalaman program ke Bazar Ramadan secara lebih menyeluruh dan imersif.


Dengan gabungan elemen drama, komedi dan kulinari, Dapur Goodday musim kedua dijangka terus mencuri perhatian penonton serta menjadi antara program pilihan sepanjang Ramadan tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *