PUTRAJAYA, 24 Februari 2026 – Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia disifatkan sebagai kekuatan utama negara yang perlu terus dipelihara dan diraikan, bukannya dijadikan alasan perpecahan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Encik Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa semangat masyarakat majmuk yang saling menghormati dan meraikan perayaan bersama mencerminkan keindahan sebenar Malaysia.

“Awal Februari lalu, kita bersama rakan-rakan beragama Hindu menyambut Thaipusam. Selepas itu masyarakat Cina meraikan Tahun Baharu Cina, dan kini umat Islam sedang menjalani ibadah puasa Ramadan sebelum menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Inilah kekuatan kita. Jangan sesekali terpengaruh dengan unsur yang mengatakan perbezaan itu kelemahan. Perbezaan adalah ruang untuk kita saling mengenali, memahami dan mencontohi perkara-perkara baik demi menjadikan bangsa Malaysia lebih hebat,” katanya ketika berucap pada satu majlis di sini.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha (KSU) serta seluruh warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas kerjasama padu dalam menjayakan agenda kementerian.
Menurutnya, misi KUSKOP jelas dan berteraskan satu matlamat utama iaitu memperkasa perniagaan Malaysia secara menyeluruh tanpa mengira kaum atau wilayah.
“Kita bukan mahu hebatkan perniagaan kaum tertentu sahaja, tetapi hebatkan perniagaan Malaysia. Itu fokus kita,” tegasnya.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kementerian melancarkan strategi ABCD yang merangkumi usaha meningkatkan produktiviti, mengurangkan birokrasi, memperluas capaian kepada modal serta memperkukuh akses pasaran.
Strategi itu digerakkan secara menyeluruh melibatkan lebih 15,000 warga KUSKOP bagi memastikan segala tenaga, sumber dan perhatian tertumpu kepada pencapaian misi memperkasa usahawan tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan dua produk pembiayaan baharu sempena musim perayaan bagi membantu peniaga mendapatkan modal pusingan dan mengelakkan mereka terjerumus dengan pinjaman tidak sah seperti along dan ceti haram.
Produk pertama dikenali sebagai BERKAT (Biaya Festival Perniagaan Rakyat) yang diperkenalkan khusus bagi membantu peniaga sempena musim perayaan, termasuk Tahun Baharu Cina.
Manakala produk kedua, BARAKAT (Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat), disasarkan kepada peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri.
“Kita faham musim perayaan memerlukan modal pusingan tambahan. Jadi kita sediakan pinjaman sehingga RM30,000 dengan kadar serendah tiga peratus bagi memudahkan dan membantu usahawan Malaysia,” katanya.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat memberi kelegaan kepada peniaga kecil dan sederhana, seterusnya memperkukuh ekosistem keusahawanan negara secara inklusif dan mampan.



