Kuala Lumpur, 28 Mac 2026 – Aktiviti sihat seperti joging dan brisk walk kini menjadi trend gaya hidup utama masyarakat Malaysia.
Menyahut sambutan positif ini, Decathlon Malaysia dengan bangganya melancarkan rekaan baharu kasut larian di bawah jenama KIPRUN hari ini.
Majlis pelancaran berlangsung di Decathlon KL City Center, The Urban Space, Four Seasons Place, Kuala Lumpur, dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh.
Jenama KIPRUN, singkatan daripada “Keep Running”, membawa misi untuk menggalakkan masyarakat bergerak secara konsisten.
Selaras dengan tagline globalnya, “More Runs. More Life.”, KIPRUN menekankan bahawa setiap langkah larian mempunyai makna tersendiri, bukan sekadar mengejar garisan penamat.
Pelancaran ini bertujuan mendekati pelari daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia, sama ada golongan pemula yang baru menjinakkan diri dalam gaya hidup sihat mahupun pelari berpengalaman.
Malaysia telah dipilih sebagai lokasi pelancaran pertama KIPRUN di rantau Asia Pasifik, dengan Kuala Lumpur dipilih kerana kepelbagaian budaya, komuniti yang mesra, dan suasana bandar yang unik.
Decathlon Malaysia menekankan usaha membina kepercayaan, keyakinan, dan hubungan jangka panjang bersama komuniti yang aktif dalam aktiviti sihat.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Acara Larian KIPRUN akan dianjurkan pada Ahad, 29 Mac 2026, di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Acara larian santai ini terbuka kepada semua kategori peserta, bertujuan menghimpunkan komuniti untuk merasai semangat “More Runs. More Life.” sambil mengamalkan gaya hidup aktif.
Inisiatif ini dijangka memperkukuh ekosistem larian negara serta menyemarakkan minat rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan cergas. – UTV



