KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik cadangan kerajaan untuk memperluas pelaksanaan waktu kerja anjal, termasuk pendekatan Work From Home (WFH) dalam sektor swasta.
Menurut UNI-MLC, WFH membawa manfaat besar kepada pekerja dan majikan. Pekerja dapat menjimatkan kos sara hidup harian seperti petrol, tol dan parkir, selain menikmati keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik. Bagi majikan, pendekatan ini berpotensi mengurangkan kos operasi seperti utiliti dan ruang pejabat.
Perlindungan Pekerja Jadi Keutamaan
Bagaimanapun, kesatuan sekerja itu menegaskan bahawa pelaksanaan WFH perlu disokong garis panduan komprehensif bagi mengelakkan ketidakadilan. Antara perkara utama yang ditekankan:
· Skop pekerjaan yang sesuai serta penetapan waktu kerja jelas
· Hak untuk tidak diganggu di luar waktu kerja (right to disconnect)
· Kesihatan mental – risiko beban kerja berlebihan, tekanan, kekaburan sempadan kerja dan peribadi, serta pengasingan sosial
· Peralatan kerja – majikan perlu menyediakan peralatan yang sesuai dan mencukupi, bukan membebankan pekerja
UNI-MLC juga mengingatkan bahawa penjimatan kos oleh majikan tidak seharusnya dipindahkan kepada pekerja, terutamanya berkaitan kos utiliti seperti elektrik dan internet.
Rundingan Wajib, Keselamatan Pekerja Jangan Diabaikan
Dari sudut perundangan, sebarang perubahan kaedah kerja perlu melalui rundingan bersama di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Pelaksanaan secara unilateral boleh mencetuskan pertikaian industri.
Selain itu, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) seperti ergonomik, keselamatan tempat kerja di rumah dan pengurusan tekanan kerja tidak boleh dipandang ringan.
UNI-MLC mencadangkan kerajaan memperkenalkan garis panduan nasional bagi pelaksanaan WFH serta menggalakkan kemasukan klausa khusus dalam Perjanjian Kolektif untuk memperincikan hak, tanggungjawab dan perlindungan pekerja.
“Pendekatan kerja anjal merupakan langkah progresif, namun ia mesti dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan hak pekerja,” kata Setiausaha Agung UNI-MLC, Hj Mohd Effendy bin Abdul Ghani.



