GGR MOTOR CETUS REVOLUSI EV TEMPATAN – PERKENAL PROTOTYPE PANAMERA R1 & R2, JARAK HINGGA 300KM

KUALA LUMPUR, 2 November 2025 – GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. atau GGR Motor melakar sejarah baharu industri automotif negara dengan memperkenalkan dua prototaip motosikal elektrik jarak jauh pertama buatan tempatan, dinamakan Pantera R1 dan Pantera R2 — mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh.


Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, berkata pembangunan Pantera R1 dan R2 menjadi simbol keupayaan anak tempatan menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi setaraf jenama antarabangsa.
“Matlamat utama kami adalah membangunkan motosikal elektrik pertama Malaysia yang mampu menempuh jarak 300km dengan satu cas. Ia akan menjadi penanda aras baharu industri EV tempatan,” katanya pada majlis pelancaran di MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025), Bukit Jalil.



Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, disertai Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, serta rakan strategik industri termasuk PMH Motor Sdn. Bhd., Prof. Dr. Nizar Abd Jalil, dan duta selebriti Johan dan Ajak Shiro.
Kuasa & Teknologi Baharu
Pantera R1 dan R2 dilengkapi dua bateri 73.8V/116Ah dan menyokong sistem pengecasan pantas (fast charging) — satu bateri boleh dicas penuh dalam 30 minit sahaja.


Ia dipacu oleh motorhub 5,000kW bersama Votol Controller, membolehkan kelajuan maksimum 110–150km/jam dengan kos penyelenggaraan hampir sifar.
“Kelebihan utama Pantera ialah sistem baterinya yang fleksibel — pengguna boleh mengecas di rumah atau menukar bateri di stesen swap. Bayaran murah, mudah dan menjimatkan masa,” jelas Musaddiq.

Fokus Kepada Rider E-Hailing & Usahawan Mikro
GGR Motor menyasarkan rider e-hailing dan usahawan mikro sebagai kumpulan utama, menawarkan penjimatan operasi sehingga 60% sehari berbanding motosikal petrol.
“Pantera bukan sekadar kenderaan, ia peluang ekonomi baharu untuk rakyat,” katanya.
Skim Pemilikan Mudah & Harga Mampu Milik
Walaupun masih dalam fasa prototaip, GGR Motor bakal memperkenalkan skim pembiayaan fleksibel dengan deposit rendah.
Harga akhir dijangka di bawah RM10,000, menjadikannya antara motosikal EV paling mampu milik di pasaran Malaysia.
Pelancaran rasmi akan melalui dua fasa:
- Fasa 1 (Okt–Dis 2025): Pembinaan ekosistem swap station & charging point di seluruh negara.
- Fasa 2 (Jan 2026): Pra-tempahan dibuka kepada komuniti e-hailing dan orang ramai.
Bangunkan Ekosistem EV Nasional
Menurut Musaddiq, GGR kini aktif mencari rakan strategik dalam kalangan syarikat korporat seperti 99 Speedmart, ZUS Coffee, dan pengusaha stesen minyak untuk memperluas jaringan swap & charging station di seluruh Malaysia.
“Kami tak mahu hanya jual motor — kami mahu bina ekosistem EV Malaysia. Sebab itu kami melancarkan prototaip dahulu untuk pastikan sistem swap dan cas bersedia sepenuhnya,” jelasnya.
Selain itu, GGR memperkenalkan konsep ‘Subscription Swap Station’, iaitu model langganan yang membolehkan pengusaha membuka stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR, dengan komisen tetap bagi setiap transaksi.
Dari LION G1 ke PANTERA: Langkah Ke Depan
Kejayaan Lion G1 sebelum ini dengan lebih 8,000 unit terjual membuktikan potensi besar pasaran EV tempatan.
Pantera R1 & R2 pula dijangka memperkukuh kedudukan GGR sebagai peneraju motosikal elektrik Malaysia.
Pelanggan di Lembah Klang boleh mendapatkan alat ganti & sokongan selepas jualan di GGR Motor Supermarket, Sungai Penchala, manakala PMH Motor di Alor Setar dilantik sebagai Master Dealer Wilayah Utara.
GGR turut bekerjasama dengan artis tempatan seperti Farid Kamil, Johan dan Ajak Shiro melalui cawangan GGR X Farid Kamil dan GGR X Johan, dengan perancangan menambah lebih banyak pengedar pada tahun 2026.
Menuju Pasaran Asia
Dalam jangka panjang, GGR Motor menyasarkan pasaran Asia sebagai destinasi eksport utama, seiring pelan memperkukuh infrastruktur domestik dan kerjasama dengan agensi kerajaan serta sektor swasta.
“Kita mahu pastikan apabila kita melancarkan Pantera sepenuhnya nanti, infrastruktur, rakan strategik dan teknologi sudah bersedia sepenuhnya.
Kami percaya, Pantera R1 dan R2 akan menjadi pemangkin transformasi industri EV negara,” kata Musaddiq mengakhiri kenyataan.




