Hari Pertama Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 Berlangsung Meriah di Kota Bharu, Masakan Tradisi & Budaya Jadi Tumpuan

KOTA BHARU, 5 September 2025 – Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 dibuka hari ini dengan penuh meriah di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. Festival tiga hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, bertujuan mengetengahkan kepelbagaian dan keunikan makanan warisan sebagai aset pelancongan budaya negara.


Hari pertama menyaksikan sesi eksklusif Memasak Bersama Chef Selebriti terkenal Dato’ Chef Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pakar Makanan Warisan JWN, yang mempersembahkan dua hidangan tradisional iaitu Kerabu Beko dan Sambal Tempoyak Daun Kayu.


Kehadiran tetamu kehormat, YBhg. Datin Che Rokiah binti Mahmod, Timbalan Pengerusi I PUSPANITA MOTAC, menegaskan sokongan padu kerajaan terhadap usaha memperkenalkan seni kulinari tradisi ke pentas utama.

Pada sebelah petang, slot santai “Menjadi Food Influencer Berilmu” bersama Kaki Jale dan Abe Wea menarik minat anak muda, mengangkat media sosial sebagai platform baharu menyebarkan mesej positif tentang makanan dan budaya.

Program diteruskan dengan Pertandingan Masakan Warisan Pantai Timur anjuran Hotel Kelantan (MAH) serta Demo Teh Tarik Adabi, yang mempamerkan keunikan kulinari sebagai aset pelancongan negara. Sorakan penonton menambah kemeriahan hari pertama.
Pada malamnya, festival diserikan dengan Ceramah Agama “Makanan Sunnah untuk Keberkatan dan Kesihatan” oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd. Izhar Ariff bin Mohd Kashim, dengan moderator Ustaz Muhammad Zikri dari JWN, menegaskan peranan MOTAC dalam memperkukuh kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri.

Festival berlangsung sehingga 7 September 2025, dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan dan jualan makanan warisan. Acara ini percuma untuk pengunjung, dan terdapat hadiah menarik menanti. Festival bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian cita rasa dan budaya, malah memperkukuh imej Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya utama di Pantai Timur.
Jangan lepaskan peluang! Masuk percuma, banyak aktiviti menarik dan hadiah menanti!





