PETALING JAYA: Penyakit jantung tersumbat terus kekal sebagai antara penyumbang utama masalah kesihatan di Malaysia, dengan majoriti pesakit melibatkan golongan lelaki yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, kata Pakar Bedah Kardiotorasik Perunding, Prof. Dr. Shahrul Amry Hashim dari Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2).

Menurut beliau, pesakit yang mendapatkan rawatan jantung di DSH2 merangkumi pelbagai peringkat umur, termasuk golongan muda seawal usia 20 tahun hingga warga emas. Namun, sebahagian besar kes yang dikesan berpunca daripada tabiat harian yang tidak sihat.
“Antara faktor utama yang menyumbang kepada penyakit jantung tersumbat ialah merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal, pemakanan tidak seimbang sehingga menyebabkan paras kolesterol dan gula dalam darah tinggi, selain penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi,” katanya.
Beliau menjelaskan, gabungan faktor-faktor tersebut boleh menyebabkan salur darah jantung menjadi sempit atau tersumbat, sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung. Dalam keadaan tertentu, pesakit terpaksa menjalani rawatan invasif termasuk pembedahan bypass jantung bagi menyelamatkan nyawa.



Prof. Dr. Shahrul turut menjelaskan bahawa kes serangan jantung secara umum boleh dibahagikan kepada dua kategori utama. Kategori pertama melibatkan individu berusia antara 35 hingga 50 tahun yang kelihatan aktif dan sihat, namun sebenarnya mempunyai salur darah jantung tersumbat akibat faktor usia serta genetik. Sementara itu, kategori kedua pula melibatkan golongan muda bawah 30 tahun yang mempunyai masalah genetik berkaitan irama jantung.
“Ramai pesakit tidak menyedari mereka berada dalam kumpulan berisiko kerana kelihatan sihat dan aktif dalam kehidupan seharian,” – Prof. Dr. Shahrul Amry Hashim
DSH2 Raih Pencapaian 200 Kes Pembedahan Jantung Invasif Minimum.



(COO KPJ HEALTHCARE BERHAD)
Dalam perkembangan berkaitan, DSH2 baru-baru ini mencatat satu pencapaian penting apabila berjaya melengkapkan 200 kes pembedahan jantung invasif minimum atau Minimally Invasive Cardiac Surgery (MICS) di bawah pimpinan Prof. Dr. Shahrul Amry Hashim. Pencapaian tersebut diraikan dalam satu majlis khas yang berlangsung di Ballroom Hospital Pakar Damansara 2.
Majlis berprestij itu dihadiri barisan pengurusan tertinggi dan kepimpinan hospital, antaranya Dato’ Mohamad Farid bin Salim, Ketua Pegawai Operasi; Puan Hoo Ling Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau (Tengah); Dr. Nor Liyana Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif DSH2 serta Dr. Mohd Daud Sulaiman, Pengarah Perubatan DSH2.


Antara pengisian utama majlis termasuk ucapan pengurusan tertinggi hospital, upacara memotong kek bagi meraikan pencapaian 200 kes MICS, pengumuman serta penyampaian Anugerah Kesihatan Global (Global Health Awards), selain sesi temu bual bersama pakar perunding dan sesi jaringan bersama pihak berkepentingan.
Menurut pihak hospital, kejayaan pencapaian 200 kes pembedahan MICS ini membuktikan tahap kepakaran klinikal DSH2 yang semakin kukuh, selain mencerminkan komitmen hospital terhadap inovasi, keselamatan pesakit serta penyampaian rawatan jantung bertaraf antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukan DSH2 sebagai antara pusat rawatan jantung terkemuka di negara ini.



