Malaysia Diangkat Jadi Hab ASEAN, BLT dan Dong Yang Cetus Gelombang Baharu Industri Lif

SHAH ALAM, 24 Jun 2025 – Malaysia kini menjadi tumpuan dalam transformasi industri lif serantau apabila syarikat pengeluar lif terkemuka China, Brilliant Elevator Co., Ltd. (BLT), secara rasmi memilih negara ini sebagai hab strategik baharu untuk pasaran ASEAN. Pelancaran jenama BLT di Malaysia turut memperkukuh kerjasama erat dengan rakan tempatan, Dong Yang Elevator (M) Sdn Bhd yang telah menjadi tonggak operasi syarikat itu sejak 2008.


Majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam itu menjadi titik permulaan kepada pelan strategik BLT untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat logistik dan perkhidmatan pintar bagi rantau Asia Tenggara. Langkah ini melibatkan pembangunan sistem pengedaran alat ganti, pemantauan pintar, penyelenggaraan berasaskan teknologi serta latihan bakat teknikal tempatan.

Menurut Jacky Lau, Pengurus Besar Jualan Antarabangsa BLT, Malaysia bukan sekadar lokasi strategik tetapi telah terbukti sebagai rakan pasaran yang stabil dan berdaya saing.
“Kerjasama kami dengan Dong Yang telah terjalin selama 18 tahun. Hari ini, kami tidak hanya melancarkan jenama, tetapi juga melancarkan gelombang baharu untuk industri lif serantau melalui Malaysia,” katanya.
Malaysia merupakan lokasi keempat dalam siri Jelajah Penjenamaan Global BLT 2025 selepas Vietnam, Arab Saudi dan Mexico, sebelum bergerak ke Moscow pada keesokan hari. Menurut Lau, strategi baharu ini dilaksana selepas pihaknya menyedari keperluan untuk mendekati pengedar dan pelanggan di negara masing-masing, berbanding hanya menjemput mereka ke China seperti amalan sebelum ini.

Sementara itu, Yeow Yow Guan, Pengarah Operasi Dong Yang, menyifatkan kerjasama jangka panjang dengan BLT sebagai bukti kepercayaan dan keserasian nilai bersama, khususnya dari segi mutu, integriti dan kesediaan berinovasi.
“Dong Yang komited untuk terus memainkan peranan utama dalam pembangunan mobiliti menegak pintar di Malaysia. Bersama BLT, kami mahu memastikan setiap bangunan di negara ini menikmati teknologi lif yang lebih selamat, lestari dan pintar,” katanya.
Sejak mula menjadi pengedar eksklusif BLT di Malaysia pada 2008, Dong Yang telah menjual lebih 400 unit lif dan kini menyelenggara lebih 1,300 unit di seluruh negara. Kerjasama dua hala ini kini disokong pula oleh pelan pembangunan tempatan yang akan membawa Malaysia ke barisan hadapan dalam ekosistem lif pintar Asia Tenggara.
BLT juga menyasarkan untuk mengubah persepsi global terhadap produk buatan China, menjadikan “Made in China” sebagai lambang kecerdasan, kualiti dan inovasi. Pelan strategik mereka tidak lagi hanya berteraskan pengeluaran, tetapi juga perkhidmatan global, digitalisasi dan penyelesaian teknologi pintar.
Langkah ini dijangka bukan sahaja melonjakkan nama Malaysia sebagai pemain utama dalam ekosistem mobiliti menegak, tetapi juga memperkukuh kedudukan Dong Yang sebagai rakan tempatan yang berdaya saing dan dipercayai dalam industri.





