Noraniza Idris Bawa TERMA ke Pentas Antarabangsa, Angkat Tarian Etnik Malaysia

  • December 29, 2025
  • 2 min read
Noraniza Idris Bawa TERMA ke Pentas Antarabangsa, Angkat Tarian Etnik Malaysia

KUALA LUMPUR – Program Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia 2025 (TERMA25) bakal melangkah ke peringkat antarabangsa apabila penganjurnya, penyanyi dan ikon irama tradisional tanah air Noraniza Idris, mengumumkan perancangan untuk melibatkan penyertaan dari negara luar dalam penganjuran akan datang.

Menurut Noraniza, perancangan awal sedang disusun bagi membawa TERMA ke peringkat Asia dan antarabangsa, melibatkan sehingga 10 buah negara, termasuk Malaysia.

Namun, pelaksanaan tersebut akan dimulakan dengan penganjuran di peringkat kebangsaan bagi memilih kumpulan dan peserta terbaik sebagai wakil negara.

“Insya-Allah, TERMA akan bergerak ke peringkat Asia dan antarabangsa. Kita sasarkan sekitar 10 negara termasuk Malaysia, tetapi kita kena jalankan peringkat kebangsaan dahulu untuk memilih kumpulan terbaik,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa penglibatan negara luar bukan sekadar memperluaskan skala penganjuran, sebaliknya bertujuan menjadikan TERMA sebagai platform pertukaran budaya dan diplomasi seni melalui bahasa universal tarian.

“Kita mahu dunia mengenali kepelbagaian etnik Malaysia. Seni tarian ini adalah identiti kita dan wajar diperkenalkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

TERMA menampilkan konsep unik dengan mewajibkan setiap persembahan berasaskan nilai etnik dan budaya Malaysia, termasuk etnik yang jarang diketengahkan seperti Minangkabau, Bugis, Banjar dan lain-lain. Pendekatan ini bukan sahaja mencabar kreativiti peserta, malah mendidik mereka untuk memahami sejarah dan identiti budaya yang dibawakan.

Noraniza turut menegaskan bahawa walaupun TERMA bakal melibatkan penyertaan antarabangsa, teras dan identiti seni etnik Malaysia akan terus dikekalkan.

“Kita tidak mahu hilangkan identiti. Evolusi itu penting, tetapi asas etnik dan sejarah mesti kekal. Itu prinsip TERMA,” jelasnya.

Beliau turut percaya penglibatan antarabangsa akan memberi pendedahan berharga kepada peserta tempatan dari segi profesionalisme, pertukaran idea dan jaringan seni merentas negara.

Dengan perancangan ini, TERMA dilihat berpotensi menjadi platform serantau dan antarabangsa yang mampu memartabatkan seni tarian etnik Malaysia, sekali gus mengangkat warisan budaya negara ke mata dunia. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *