IPOH, 4 APRIL 2026 – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Perak terus
mendapat sambutan luar biasa apabila kehadiran pengunjung mencecah puluhan ribu
orang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sehingga 4 April 2026, jam 3.00 petang,
jumlah keseluruhan pengunjung direkodkan sebanyak 93,245 orang.



Kemuncak acara hari ini diserikan lagi dengan Majlis Perasmian PMR 2026 Perak
yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku kementerian peneraju
menzahirkan rasa bangga kerana diberi kepercayaan untuk menerajui penganjuran
sulung PMR bagi tahun ini dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Perak. Program ini
merupakan manifestasi iltizam Kerajaan MADANI untuk mendekatkan perkhidmatan
kepada rakyat, memahami keperluan mereka serta menterjemahkannya kepada
tindakan yang berkesan.
Bertemakan “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni”, KPKT
memberikan penekanan kepada kestabilan harga rumah mampu milik serta penyediaan
Skim Jaminan Kredit Perumahan khusus untuk golongan pekerja gig yang tidak
mempunyai slip gaji tetap. Inisiatif ini penting bagi memastikan semua lapisan rakyat
berpeluang memiliki kediaman berkualiti walaupun berdepan peningkatan kos bahan
binaan global.

Majlis turut menyaksikan Penyerahan Sentuhan Kasih KPKT sebagai simbol
komitmen kementerian dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi tiga (3)
inisiatif utama perumahan :
- Program Baik Pulih Rumah: Dua (2) penerima dari Kampung Seri Kinta, Ipoh
menerima bantuan sebanyak RM20,000 setiap seorang bagi membolehkan
mereka mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.
- Program Bina Baharu Rumah: Seorang (1) penerima dari Pasir Pinji, Perak
menerima bantuan pembinaan rumah Baharu bagi menggantikan kediaman yang
tidak lagi selamat didiami. - Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) SPNB: Tiga (3) penerima dari Batu Gajah
dan Tambun menerima kunci rumah bernilai RM75,000 setiap satu. Program ini
membantu golongan berpendapatan rendah yang memiliki tanah sendiri untuk
membina kediaman yang selesa dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Sumbangan Sentuhan Kasih Syawal
kepada enam (6) penerima yang terdiri daripada rumah kebajikan anak yatim, warga
emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan jumlah RM5,000 setiap satu sebagai
tanda keprihatinan kerajaan menjelang musim perayaan.
Dalam ucapannya, YB Nga Kor Ming menegaskan bahawa Malaysia memerlukan
kepimpinan yang stabil, berpengalaman dan berpandangan jauh bagi mendepani
cabaran semasa. Beliau turut menyeru semua pihak agar memperkukuh perpaduan
sebagai strategi nasional demi memastikan negara kekal kukuh dalam menghadapi
tekanan ekonomi global.
Sebagai kementerian peneraju, KPKT merakamkan penghargaan kepada Kerajaan
Negeri Perak serta semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam menjayakan
PMR 2026 Perak. Sinergi ini merupakan cerminan komitmen Kerajaan untuk
memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat disampaikan secara menyeluruh
hingga ke peringkat akar umbi.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; Ketua
Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar serta Setiausaha
Kerajaan Negeri Perak, YB Dato’ Ahmad Suadi Abdul Rahim.



