Sambutan Tahun Baru Tamil Lebih Meriah, Libatkan 35 NGO & Dijangka Tarik Ribuan Pengunjung

BRICKFIELD, 8 APRIL 2026 – Sambutan Tahun Baru Tamil atau Tamizh Puthandu pada tahun ini bakal diraikan dengan lebih meriah menerusi penganjuran sebuah festival kebudayaan berskala besar yang menghimpunkan lebih daripada 35 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Program ini turut mendapat kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Brickfields, Brickfields Business Community Society serta kuil-kuil sekitar Brickfields.

En. Rishikumar Vadivelu

Presiden Malaysia Hindhudharma Maamandram, En. Rishikumar Vadivelu, berkata sambutan ini bertujuan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Tamil kepada rakyat Malaysia yang mungkin masih kurang mengenali perayaan tersebut.

Menurut beliau, walaupun masyarakat Tamil di Malaysia merupakan golongan minoriti, mereka memiliki warisan budaya yang sangat kaya dan unik.

“Setiap tahun, masyarakat Tamil menyambut Tahun Baru Tamil pada bulan Chithirai dalam kalendar Tamil, biasanya pada 14 atau 15 April. Namun bagi memudahkan penyertaan orang ramai, sambutan ini diadakan pada hari Sabtu terdekat,” katanya.

Turut hadir pada majlis sidang media tersebut ialah En. Kanakiah Naidu, Pengerusi Kuil Sri Sakthi Karpaga Vinayagar, Brickfields, wakil Malaysia Hindu Sangam, wakil Kawasan Rukun Tetangga Brickfields, wakil Majlis Belia Hindu Malaysia, serta urusetia Sambutan Tahun Baru Tamil 2026.

Festival ini akan berlangsung pada 18 April 2026 (Sabtu) bermula 12 tengah hari hingga 9 malam, bertempat di hadapan Fountain Air Brickfields. Pelbagai pengisian menarik berteraskan warisan budaya Tamil yang telah bertapak hampir 200 tahun di Malaysia akan dipersembahkan kepada pengunjung.

Pelbagai Acara Tradisi dan Budaya

Acara akan dimulakan dengan bacaan doa, diikuti persembahan seni tradisional seperti Bharatanatyam, nyanyian Tamilisai dan Thevaram, serta persembahan lagu-lagu kebudayaan Tamil.

Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai tarian tradisional Tamil seperti Mayilattam, Kolattam, Oyilattam dan lain-lain lagi.

Festival ini turut menampilkan demonstrasi seni mempertahankan diri tradisional “Silambam”, yang diwarisi turun-temurun dari India, serta pelbagai permainan tradisional seperti Paramapadam (snake and ladders), catur, congkak dan Pambaram (gasing).

Salah satu tarikan utama ialah demonstrasi permainan Uriyadi – aktiviti memecahkan tembikar yang sering menarik perhatian pengunjung tempatan dan juga pelancong asing.

“Setiap tahun kita melihat kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung, termasuk 300 hingga 400 pelancong asing yang turut teruja menyaksikan keunikan budaya ini,” jelas beliau.

Makanan Tradisi Percuma & Jamuan Daun Pisang

Sepanjang festival berlangsung, pengunjung akan disajikan lebih daripada 50 jenis juadah tradisional secara percuma, termasuk snek seperti vadai, pongal, pelbagai manisan, air kelapa muda dan air tebu.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis kanji tradisional (seperti kanji nasi, kanji jagung, kanji kacang urad putih, kanji kacang hijau), makanan warisan masyarakat Tamil sejak dahulu.

Kemuncak acara adalah jamuan hidangan daun pisang yang menampilkan 21 jenis masakan vegetarian autentik untuk lebih 1,000 pengunjung, sebagai usaha memperkenalkan kepelbagaian makanan tradisional Tamil yang sering disalah faham oleh masyarakat umum.

Menurut Pengerusi Kuil Sri Sakthi Karpaga Vinayagar, Brickfields, ramai masyarakat masih belum benar-benar memahami konsep makanan vegetarian dalam budaya Tamil.

“Di sini kita tampilkan hidangan lengkap yang autentik dan penuh rasa bagi memberi pengalaman sebenar kepada pengunjung,” katanya.

Platform Perpaduan dan Warisan Budaya

Penganjuran festival ini bukan sahaja bertujuan memelihara warisan budaya Tamil, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita mahu generasi muda Tamil terus mengenali identiti dan akar budaya mereka walaupun hidup dalam suasana bandar. Dalam masa yang sama, kita juga mahu masyarakat lain memahami budaya kita,” tambah beliau.

Pihak penganjur juga telah menghantar jemputan kepada Ahli Parlimen, ADUN serta wakil kementerian termasuk Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pelancongan.

YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), telah mengesahkan kehadiran beliau dan dijangka meluangkan masa bersama pengunjung selama satu hingga dua jam semasa festival berlangsung.

Sasar Pengiktirafan Lebih Luas

Pihak penganjur turut berhasrat untuk mendaftarkan festival ini sebagai salah satu acara warisan budaya di bawah sektor pelancongan dan perpaduan negara, serta dimasukkan dalam kalendar rasmi program pelancongan Malaysia.

Dengan pelbagai pengisian menarik, Sambutan Tahun Baru Tamil di Brickfields dijangka menjadi antara acara kebudayaan tahunan yang wajib dikunjungi, sekali gus membuka ruang kepada rakyat Malaysia dan pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan tradisi masyarakat Tamil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *