Universiti Malaya dan INSKEN Perkasa Budaya Inovasi Sosial Dalam Kalangan Mahasiswa

Kuala Lumpur, 12 Mei 2026 – Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya terus memperkukuh usaha melahirkan mahasiswa yang peka terhadap isu masyarakat menerusi penganjuran sesi perkongsian bertajuk ‘Social Innovation: Turning Social Challenges Into Opportunities’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Puan Viviantie Sarjuni baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama INSKEN bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai inovasi sosial, ‘social enterprise’ dan bagaimana cabaran sosial dalam masyarakat boleh diterjemahkan kepada peluang ekonomi serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti.

Kiri Tengah: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Puan Viviantie Sarjuni dan Kanan Tengah: Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Asbah Razali

Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Asbah Razali berkata, program tersebut diadakan bagi membuka ruang kepada pelajar untuk berfikir secara lebih kreatif, inovatif dan peka terhadap isu sosial semasa selaras dengan keperluan masyarakat dan industri masa kini.

Menurut beliau, bidang antropologi dan sosiologi amat dekat dengan realiti masyarakat dan pelajar perlu memahami bagaimana sesuatu isu sosial boleh ditangani melalui pendekatan yang lebih praktikal dan berimpak tinggi.

“Bidang Antropologi dan Sosiologi amat dekat dengan masyarakat dan realiti sosial semasa. Justeru, pelajar bukan sahaja perlu memahami teori, malah perlu melihat bagaimana sesuatu isu sosial dapat ditangani melalui pendekatan yang lebih praktikal, kreatif dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, tema inovasi sosial dipilih kerana cabaran dunia hari ini memerlukan idea dan pendekatan baharu dalam membantu komuniti serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama bersama INSKEN amat signifikan memandangkan institusi tersebut mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam pembangunan keusahawanan dan inovasi sosial.

“Melalui kolaborasi seperti ini, pelajar dapat melihat perspektif sebenar dunia luar serta memahami bagaimana sesuatu idea boleh diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak kepada masyarakat. Selain itu, program ini turut membuka peluang jaringan profesional, pembangunan diri dan pendedahan secara langsung kepada dunia pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, pihak jabatan berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan menerusi pelbagai bentuk kolaborasi strategik bersama pihak luar. Kami percaya program seperti ini mampu melahirkan graduan yang lebih holistik, mempunyai daya saing tinggi dan kesedaran sosial yang kukuh,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Puan Viviantie Sarjuni

Sementara itu, Puan Viviantie Sarjuni berkata, cabaran sosial yang berlaku dalam masyarakat tidak seharusnya dilihat sebagai masalah semata-mata, sebaliknya boleh dijadikan peluang untuk membina perusahaan yang memberi impak kepada komuniti.

Menurut beliau, Sabah kini muncul sebagai antara ekosistem terbesar dalam melahirkan usahawan sosial di Malaysia dengan lebih 200 perusahaan sosial aktif beroperasi.

“Dalam dunia hari ini, termasuk di kampung-kampung sekalipun, kita boleh lihat banyak masalah dan cabaran di sekeliling kita. Persoalannya ialah apakah tindakan kita untuk mengubah masalah itu menjadi satu peluang yang memberi manfaat kepada komuniti. Usahawan sosial bukan sahaja membantu merancakkan ekonomi rakyat, tetapi turut mencari penyelesaian kepada isu masyarakat melalui perusahaan mereka,” katanya.

Beliau turut berkongsi contoh kejayaan LJD Corporation yang diasaskan oleh Puan Saila Saidie, yang berjaya menukar bahan buangan plastik kepada produk perhiasan bernilai tinggi melalui konsep upcycle.

Katanya, perusahaan tersebut turut menggaji golongan stateless atau individu tanpa kewarganegaraan untuk mengumpul bahan plastik di kawasan tapak pelupusan sampah sebelum diproses menjadi aksesori dan barang kemas.

“Inovasi seperti ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada komuniti terpinggir, malah membantu menangani isu pencemaran dan pengurusan sisa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan golongan mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan beberapa kemahiran penting sekiranya mahu berjaya dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, antara kemahiran utama yang perlu dikuasai ialah networking, sikap sentiasa mahu belajar dan daya tahan tinggi atau resilience.

“Bidang keusahawanan penuh dengan jatuh bangun. Jadi seseorang itu perlu kuat dan mempunyai daya tahan tinggi sebelum mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Welyne Jeffrey Jehom

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Welyne Jeffrey Jehom berkata, pendedahan terhadap inovasi sosial sangat penting kerana ia membantu pelajar memahami bahawa isu sosial boleh diselesaikan melalui pendekatan kreatif dan perusahaan sosial.

Menurut beliau, penglibatan industri bersama institusi pengajian tinggi juga amat diperlukan kerana pensyarah tidak mampu membincangkan semua topik secara menyeluruh tanpa sokongan pihak luar.

“Pendedahan seperti ini sangat penting kerana kita memerlukan sesuatu di luar bidang keupayaan seorang pensyarah. Penglibatan industri sangat penting dalam memberi perspektif sebenar kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata, inovasi sosial merupakan antara topik yang dibincangkan dalam kursus AIA3016 ‘Community and Commerce’ yang menyentuh mengenai ‘social enterprise’ dan ‘social entrepreneurship’.

Tambahnya, universiti juga perlu menyediakan lebih banyak ruang kepada pelajar daripada pelbagai fakulti untuk terlibat dalam program berbentuk komuniti dan inovasi sosial.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran sosial yang dihadapi belia hari ini termasuk sikap kurang terbuka, terlalu takut mengambil risiko dan kelemahan membina jaringan sosial yang sihat.

Katanya, keadaan tersebut boleh menyumbang kepada tekanan emosi dan isu kemurungan dalam kalangan anak muda. Program tersebut turut menerima maklum balas positif daripada mahasiswa yang hadir.

Pelajar bidang Antropologi dan Sosiologi dan peserta program, Inez Hasha Amir

Pelajar bidang Antropologi dan Sosiologi dan juga peserta, Inez Hasha Amir berkata, program berkenaan membuka perspektif baharu mengenai bagaimana bidang antropologi dan sosiologi boleh dikaitkan dengan keusahawanan sosial.

“Saya sangat kagum apabila mengetahui isu sosial dan alam sekitar sebenarnya boleh dijadikan satu bentuk perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Sebagai pelajar di jabatan antropologi dan sosiologi, saya rasa perkara ini sangat dekat dengan bidang yang saya pelajari dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadikannya sebagai salah satu kejayaan pada masa depan, saya turut menghargai usaha INSKEN dan Jabatan Antropologi dan Sosiologi dalam membawa program tersebut kepada mahasiswa. ” katanya.

Pelajar UM dan peserta program, Jeremiah Ating William

Seorang lagi peserta, Jeremiah Ating William dari Lawas, Sarawak berkata, sesi perkongsian itu memberinya pendedahan mengenai keberanian mengambil risiko dalam bidang keusahawanan.

“Program ini mengajar saya bahawa kita perlu berani mengambil risiko untuk berjaya dan sentiasa belajar bagaimana mengatasi cabaran hidup, mempelajari cara mengurus tekanan, menghadapi cabaran hidup dan memahami bahawa jatuh bangun bukanlah satu kegagalan.” katanya juga yang bercita-cita menjadi guru berharap dapat membantu melahirkan generasi pelajar yang berguna kepada masyarakat pada masa hadapan.

Senior Executive Data, Strategi dan Analitik INSKEN, Encik Abdul Hafiz Muhammad

Sementara itu, Senior Executive Data, Strategi dan Analitik INSKEN, Encik Abdul Hafiz Muhammad berkata, program tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara pihak akademik dan industri keusahawanan.

Menurut beliau, INSKEN turut aktif membantu mahasiswa menerusi pelbagai program pembangunan usahawan termasuk Program JAGOH Keusahawanan Nasional (JAGOH) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama INSKEN yang memfokuskan kepada pembangunan bakat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan.

Katanya, program itu dijangka melibatkan seramai 3,000 peserta IPT di seluruh Malaysia melalui latihan intensif selama dua hari satu malam bersama ‘industry coach’.

“Peserta akan membina model perniagaan, menjalankan ‘pitching’ dan menerima penilaian secara ‘real-time’ supaya mereka dapat melihat potensi sebenar dalam bidang keusahawanan. Kami yakin program seperti ini mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berani mencuba dan mempunyai daya saing tinggi,” katanya.

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada mahasiswa Universiti Malaya yang dilihat aktif menyertai sesi perkongsian dan perbincangan sepanjang program berlangsung. Penganjuran program itu juga dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam memberi pendedahan serta menanam kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan inovasi sosial, keusahawanan sosial dan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Secara keseluruhannya memperlihatkan komitmen berterusan pihak universiti dan industri dalam memperkasa budaya inovasi sosial serta melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kesedaran sosial, pemikiran kritikal dan keberanian untuk mencipta perubahan positif dalam masyarakat melalui bidang keusahawanan. -UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *