TIADA BANTAHAN UNTUK PROJEK ECRL DI KAMPUNG ORANG ASLI BATU 12, GOMBAK

  • June 22, 2023
  • 2 min read
TIADA BANTAHAN UNTUK PROJEK ECRL DI KAMPUNG ORANG ASLI BATU 12, GOMBAK

PUTRAJAYA, 22 Jun – 41 penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak yang terbabit dengan pembinaan Projek Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL) bersedia untuk berpindah ke penempatan baharu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Selain mengutamakan kebajikan penduduk terbabit, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut mengadakan sesi perbincangan, taklimat dan libat urus bertujuan memberikan penjelasan dan mendapatkan maklum balas bersama penduduk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Batu 12 dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli melibatkan, Jabatan Hutan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan pemaju Malaysia Rail Link (MRL) serta lain-lain agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri yang dilaksanakan sejak tahun 2022.

Terkini, pada 30 Mei 2023 satu sesi penerangan berkaitan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 11/2023 bertarikh 12 April 2023 berhubung pemindahan masyarakat Orang Asli Batu 12 telah diadakan kepada 41 orang penduduk terlibat.

Sesi penerangan ini juga dihadiri oleh JPKKOA Batu 12, Gombak dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Gombak. Antara perkara yang dimaklumkan dalam sesi penerangan tersebut adalah:

1) Penempatan baharu 41 orang masyarakat Orang Asli Batu 12 Gombak di Kompartmen 1, Hutan Simpan Hulu Gombak (berada di antara Muzium Orang Asli dan Unit Logistik JAKOA) seluas 10 ekar.

2) MRL hendaklah melaksanakan tindakan sewajarnya dan menanggung kos-kos yang terlibat bagi tujuan penempatan baharu 41 orang penduduk termasuklah:
i) membina rumah, kuarters, prasarana dan kemudahan asas;
ii) Membayar ganti rugi pokok yang ditebang dan premium
yang dikenakan untuk lokasi penempatan baharu; dan
iii) Menanggung kos perpindahan dari penempatan sedia ada
ke lokasi baharu.

Pemindahan penduduk pula hanya akan dilaksanakan setelah semua syarat dan terma dipenuhi dan diselesaikan sepenuhnya.

Hasil dari penerangan tersebut, penduduk secara lisan bersetuju dengan pemindahan ke lokasi baharu yang ditetapkan.

Selain jarak daripada penempatan lama ke lokasi penempatan baharu adalah sejauh 400 meter, kemudahan yang ada berhampiran dengan Kampung Orang Asli (KOA) Batu 12, Gombak seperti Hospital Orang Asli Gombak dan Muzium Orang Asli dikekalkan dan tidak terjejas dengan Projek ECRL.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *