11 NGO Desak Moratorium Akta Pekerja Gig 2025, Dakwa Banyak Kelemahan Perlu Dibetulkan


KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pekerja dan pengguna dalam ekosistem ekonomi gig menggesa kerajaan supaya melaksanakan moratorium atau penangguhan sementara terhadap pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Gabungan yang diterajui oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dan beberapa persatuan penghantar e-hailing serta p-hailing itu berpandangan bahawa akta berkenaan masih mempunyai pelbagai kelemahan kritikal yang perlu dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Antara isu utama yang dibangkitkan adalah takrifan “pekerja gig” dalam Seksyen 2 yang dianggap terlalu umum kerana turut membenarkan pemastautin tetap (PR) asing menyertai sektor e-hailing dan p-hailing. Menurut mereka, ia bercanggah dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang hanya membenarkan warganegara Malaysia menjadi pemandu atau penghantar.

Selain itu, gabungan tersebut turut menyuarakan kebimbangan terhadap penubuhan Tribunal Pekerja Gig yang dilihat masih belum matang dari segi bidang kuasa, struktur, dan prosedur pelaksanaan. Mereka bimbang tribunal itu akan menambah kos kepada pengadu sekiranya hanya berpusat di Putrajaya tanpa kehadiran di negeri-negeri lain.

Majlis Perundingan Gig yang diwujudkan dalam akta itu juga dikritik sebagai badan nasihat tanpa kuasa mengikat, serta pelantikan ahlinya yang didakwa tidak telus dan tidak mewakili suara sebenar pekerja gig dari pelbagai subsektor.

Dalam pada itu, mereka turut menyentuh isu prosedur penyahaktifan akaun yang disifatkan terlalu birokratik, sekali gus berisiko melambatkan tindakan terhadap kes keselamatan pengguna. Hak berpersatuan yang ditawarkan pula dikatakan lemah berbanding kuasa rundingan kolektif yang dinikmati kesatuan sekerja sedia ada.

Gabungan itu juga menyuarakan kebimbangan bahawa akta tersebut secara tidak langsung mendedahkan pekerja gig kepada kewajipan cukai pendapatan tanpa perlindungan sosial yang setara, sekali gus menambah beban kewangan kepada golongan yang berpendapatan tidak tetap.

Tegas mereka, proses libat urus sebelum akta diluluskan juga didakwa tidak menyeluruh, tidak telus, dan dijalankan secara terburu-buru.

“Pekerja gig berisiko menjadi ‘bahan uji kaji dasar’ sekiranya pelaksanaan diteruskan tanpa kesiapsiagaan sistem dan struktur yang kukuh,” kata gabungan itu dalam kenyataan bersama.

Mereka menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberi perhatian serius terhadap kelemahan yang dikenal pasti demi memastikan kebajikan dan perlindungan lebih 1.12 juta pekerja gig di negara ini benar-benar terjamin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *