FELDA dan Kerajaan Negeri Pahang Perkukuh Kerjasama Strategik Ambil Alih FGV Holdings Berhad

BENTONG, 26 Mei 2025 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melangkah setapak lagi dalam agenda pemerkasaan ekonomi peneroka apabila Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi bersetuju menjadi Persons Acting in Concert (PAC) bersama FELDA dalam usaha mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV).

Langkah ini merupakan sokongan penting kepada pelaksanaan Voluntary Take Over Offer (VTO) oleh FELDA terhadap FGV – sebuah usaha menyeluruh bagi memastikan syarikat perladangan itu kekal dalam kawalan strategik FELDA dan memelihara kepentingan jangka panjang peneroka serta komuniti FELDA seluruh negara.

Majlis menandatangani penyertaan PAC berlangsung di Bentong, disaksikan oleh kepimpinan tertinggi FELDA dan Kerajaan Negeri Pahang.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, menyifatkan penyertaan Kerajaan Negeri Pahang sebagai langkah memperkukuh sinergi antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan.

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek

“Kerjasama ini membuktikan bahawa FELDA tidak bergerak bersendirian. Komitmen Kerajaan Negeri Pahang memberi kekuatan tambahan kepada usaha transformasi FELDA dalam menstabilkan dan mengukuhkan kembali FGV untuk manfaat peneroka,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong usaha FELDA, dan penyertaan ini melambangkan kesungguhan negeri dalam membela nasib peneroka.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy

“FGV adalah nadi kepada pembangunan ekonomi luar bandar. Kerajaan Negeri melihat penyertaan ini sebagai peluang menyumbang kepada kelangsungan ekonomi rakyat, khususnya peneroka FELDA di Pahang yang merupakan negeri dengan jumlah tanah rancangan terbesar,” ujar beliau.

Majlis turut menampilkan sesi taklimat oleh firma guaman Tetuan KD & Andri & Partners, yang bertindak sebagai penasihat undang-undang FELDA dalam proses pengambilalihan tersebut.

Kerjasama ini diyakini akan memberikan impak positif kepada ekosistem FELDA termasuk peningkatan kecekapan operasi, pengukuhan nilai perladangan, serta kesinambungan manfaat kepada peneroka dan generasi baharu. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *