Tidak sepatutnya bertegas untuk melaksanakan rancangan subsidi bersasar petrol RON95 pada separuh kedua tahun ini

  • May 27, 2025
  • 3 min read
Tidak sepatutnya bertegas untuk melaksanakan rancangan subsidi bersasar petrol RON95 pada separuh kedua tahun ini

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berpendapat bahawa kerajaan tidak sepatutnya bertegas untuk melaksanakan rancangan subsidi bersasar petrol RON95 pada separuh kedua tahun ini, selagi belum dapat dikenal pasti individu yang layak menerima subsidi tersebut. Tambahan pula, kerajaan juga perlu memberikan maklumat dan masa yang mencukupi kepada pengusaha stesen minyak bagi membuat persediaan, supaya pelaksanaan ini dapat berjalan dengan lancar.

Menurut pemahaman beliau, sehingga bulan Mac tahun ini, kerajaan masih belum mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan pihak berkaitan. Sekiranya pelaksanaan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa maklumat mencukupi, ia hanya akan menambah kekeliruan, dan boleh menyebabkan gangguan operasi, pengusaha tidak bersedia, serta pengguna menjadi kelam-kabut. Masa semakin suntuk, namun kerajaan masih lagi berada di tahap perancangan tanpa tindakan konkrit, sekadar berpusing-pusing atas kertas.

“Sehingga kini, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan yang jelas. Jika benar mahu laksana pada 1 Julai, pengusaha stesen minyak pasti menjadi mangsa pertama yang terkesan. Sebaik mana pun rancangan tersebut, jika tiada komunikasi yang berkesan dengan pihak berkepentingan, ia tetap akan menjejaskan kesinambungan dan kejayaan pelaksanaan subsidi bersasar secara keseluruhan.”

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu sedar akan kekangan tenaga kerja di kaunter dalam stesen minyak yang terhad, tidak seperti pasar raya yang mempunyai banyak kaunter. Kerajaan hanya menyatakan pelaksanaan akan dilakukan melalui MyKad, namun tiada penjelasan tuntas diberi. Adakah subsidi akan dimasukkan terus ke dalam MyKad, atau MyKad hanya digunakan untuk mengenal pasti kelayakan?

Dr. Dominic Lau dalam kenyataannya mengingatkan kerajaan bahawa apa-apa dasar atau keputusan yang melibatkan peniaga dan rakyat seharusnya mengambil kira pandangan pihak berkepentingan, bukannya ditentukan secara tertutup. Sekiranya kerajaan sendiri tidak memahami kebimbangan mereka serta isu teknikal yang mungkin dihadapi, pelaksanaan secara tergesa-gesa hanya akan menyebabkan pengusaha hilang arah, dan pengguna turut terkesan.

“Jika benar ini kerajaan Madani, maka cara pelaksanaannya juga perlu mencerminkan prinsip kemakmuran bersama. Sepatutnya kerajaan mendengar pandangan semua pihak terlebih dahulu, untuk merangka pelan pelaksanaan yang lebih realistik dan lestari. Jika benar-benar mahu melaksanakan langkah ini secara adil dan menyeluruh, pengusaha sepatutnya dilibatkan dalam proses perumusan dasar.”

Beliau menegaskan bahawa dasar membantu rakyat tidak boleh sekadar berdasarkan imaginasi, sebaliknya mesti selari dengan realiti semasa. Walaupun rakyat hanya perlu ‘sentuh dan terus isi minyak’, pengusaha stesen minyak tetap perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan isu teknikal tersebut. Kerajaan tidak boleh sekadar buat keputusan dan harapkan semua pihak patuh bulat-bulat jika tidak ikut, terus diambil tindakan. Ini bukan Madani, ini menyusahkan rakyat!

Datuk Dr.
Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional GERAKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *