KOTA BHARU, 6 SEPTEMBER 2025 – Program Larian Jejak Warisan “Semutar Hungga” menjadi antara acara istimewa yang mencuri perhatian pada hari kedua Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur 2025 apabila ratusan peserta menyertai larian santai yang mengangkat simbolik ikatan semutar sebagai identiti masyarakat Kelantan.





Program bermula seawal jam 7 pagi dengan acara Senam Seni, sebelum peserta dilepaskan untuk menyertai larian yang diberi nama “Hungga”, istilah bahasa Kelantan yang merujuk kepada semangat berlari.



Nama ini diangkat kerana dekat dengan budaya masyarakat tempatan, di samping menghidupkan kembali pemakaian semutar, kain ikatan kepala tradisional Pantai Timur.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Zameri bin Mat Nawang berkata pemilihan “Semutar Hungga” sebagai tema larian adalah usaha menonjolkan keunikan budaya Kelantan yang masih kekal sehingga kini.
“Hungga ini identik dengan masyarakat Kelantan. Dari dahulu semutar sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian orang Pantai Timur. Ia bukan sekadar ikatan kain, tetapi lambang jati diri dan kekuatan budaya kita,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa semutar sinonim dengan masyarakat lama, khususnya nelayan, petani dan pemandu kereta lembu. Ikatannya juga pelbagai mengikut kreativiti pemakai, sama seperti serban yang mempunyai gaya tersendiri.

Sementara itu, Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara (JWN) YBrs Encik Mohamad Muda bin Bahadin berkata penganjuran larian berkonsepkan budaya tradisi ini dapat menarik minat generasi muda untuk mendekati warisan melalui pendekatan lebih santai dan moden.
“Bila peserta berlari dengan semutar, ia bukan hanya larian santai tetapi perayaan kepada warisan budaya kita. Kita mahu budaya tidak hanya dipamerkan di pentas, tetapi dirasai dalam kehidupan seharian, termasuk melalui aktiviti riadah seperti ini,” jelasnya.


Selain larian, festival ini turut menampilkan pelbagai sajian tradisional. Antara makanan yang dianggap wajib dicuba ialah Nasi Kerabu dengan budu yang sinonim dengan Kelantan, Nasi Tumpang yang hanya terdapat di negeri ini, serta Nasi Dagang Kelantan yang berbeza daripada versi Terengganu dan Pahang.
Turut memikat selera ialah pelbagai jenis kuih-muih tradisional termasuk tepung bungkus yang harum berbalut daun pisang.
Menariknya, pada hari terakhir festival esok, pengunjung berpeluang menikmati jamuan Nasi Berlauk percuma yang disediakan dengan aneka lauk seperti ayam percik, serati, ikan dan pelbagai hidangan lain, sebagai simbol kenduri rakyat meraikan budaya tempatan.



Program Larian Jejak Warisan Semutar Hungga ini merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang berlangsung selama tiga hari di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Acara kemuncak festival adalah Majlis Perasmian malam ini oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Raja Permaisuri Kelantan, disusuli persembahan kebudayaan berlandaskan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.



Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan ini diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dari 5, 6 dan 7 September 2025 ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk merasai keunikan makanan, seni dan budaya Pantai Timur. – UTV



