Warisan Baba Nyonya: Dari Dapur Tradisi ke Cabaran Masa Depan

  • September 14, 2025
  • 3 min read
Warisan Baba Nyonya: Dari Dapur Tradisi ke Cabaran Masa Depan

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Warisan kulinari Baba Nyonya, terkenal dengan keunikan rasa hasil gabungan pengaruh Melayu, Cina, India dan Arab, kini berdepan cabaran besar untuk dikekalkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Chef Florence Tan, tokoh kulinari tersohor dan duta masakan Baba Nyonya yang sering muncul dalam rancangan televisyen tempatan serta antarabangsa, berkata perubahan gaya hidup moden menjadi punca banyak resipi turun-temurun semakin dilupakan.

“Dulu, ibu dan nenek kita sanggup masak berjam-jam untuk hasilkan hidangan yang kaya dengan rasa. Sekarang orang lebih suka makanan cepat dan mudah. Banyak menu tradisi hilang kerana dianggap leceh,” katanya ketika ditemui dalam program masakan warisan beliau, Dapur Kita Kongsi Rasa di Festival Citarasa Warisan @Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa.

Antara menu Baba Nyonya yang kian pupus termasuk Ayam Pongteh, Kari Ayam Nyonya, Sambal Belimbing Buluh, Udang Masak Lemak Nanas, Jantung Pisang Masak Lemak, Asam Pedas Nyonya, Itek Tim dan Gerang Asam.

Chef Florence turut mendedahkan bahawa suatu ketika dahulu, masyarakat Baba Nyonya juga menikmati hidangan unik seperti paiz anak lebah yang dimasak manis.

Beliau menjelaskan, perkahwinan campur generasi demi generasi turut memberi kesan besar terhadap bahasa, budaya dan kulinari Baba Nyonya.

“Ramai lelaki Baba berkahwin dengan perempuan Cantonese, jadi anak-anak lebih bertutur dalam bahasa Cantonese. Ada pula yang berkahwin dengan Melayu, India atau Bengali. Perubahan ini menyebabkan identiti makanan Baba Nyonya semakin kabur. Tinggal resipi dalam buku sahaja untuk diingati,” jelasnya.

Meskipun berdepan cabaran, usaha memelihara warisan kulinari ini tetap giat dijalankan, antaranya melalui aktiviti tahunan Peranakan Association Melaka yang menghimpunkan komuniti Baba Nyonya dari seluruh dunia.

Chef Florence turut mengingatkan tentang asal-usul komuniti ini yang bermula sejak era Kesultanan Melaka apabila Puteri Hang Li Po dari China berkahwin dengan Sultan Mansur Shah. Hasil perkahwinan campur itu melahirkan keturunan Peranakan yang membawa identiti tersendiri, termasuk dalam bidang kulinari.

“Makanan Baba Nyonya berbeza kerana ia lahir dari pelabuhan Melaka, tempat pedagang dari China, India, Arab dan Indonesia bertemu serta berkongsi budaya. Dari situlah wujud rasa unik dalam setiap resipi,” ujarnya.

Beliau menambah, Festival Citarasa Warisan adalah platform penting untuk mendidik masyarakat mengenai nilai khazanah lama ini.

“Festival Citarasa Warisan ini satu usaha murni yang bukan sahaja mengangkat kepelbagaian hidangan tradisional, tetapi juga mendidik generasi muda agar lebih menghargai khazanah masakan warisan kita. Saya sangat berbesar hati dapat terlibat,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ekaterina Rashidin, pakar warisan budaya dari Rusia yang kini bermastautin di Kuala Lumpur, turut berkongsi pandangan tentang keunikan Malaysia sebagai negara multikultural. Beliau memiliki PhD dalam bidang ekonomi dan kini aktif sebagai pencipta kandungan digital yang sering mempromosikan Malaysia di platform antarabangsa.

“Malaysia adalah contoh terbaik multikulturalisme yang hidup. Makanan menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum, dan inilah aset yang sangat unik jika dibandingkan dengan banyak negara lain. Dengan menghargai masa lalu, kita dapat membina masa depan yang lebih baik bersama,” katanya.

Dr. Eka menambah, pengiktirafan dan usaha melestarikan kulinari tradisi bukan sahaja penting dari sudut budaya, tetapi juga dari perspektif ekonomi dan geopolitik kerana ia mampu meningkatkan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

“Saya amat kagum melihat bagaimana Malaysia meraikan kepelbagaian budaya melalui makanan. Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur ini menjadi platform penting untuk menunjukkan kepada dunia bahawa makanan warisan Malaysia bukan sekadar hidangan, tetapi cerminan identiti bangsa,” katanya lagi.

Menutup perbualan, Chef Florence Tan menyuarakan harapan agar generasi muda kembali menghargai resipi lama, melihatnya bukan sekadar catatan dalam buku masakan, tetapi sebagai khazanah bangsa yang wajib diteruskan. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *