Hainan Platform Strategik Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026

KUALA LUMPUR, Persediaan bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026) giat dilaksanakan dengan pelbagai inisiatif promosi di luar negara, termasuk misi dagangan pelancongan di Hainan, China.

Dato’ Sri Dr. Mohd Khalid Harun Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) berkata, pemilihan Hainan sebagai lokasi lawatan kali ini amat bertepatan memandangkan wilayah itu sedang pesat membangun sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Fam Trip yang diadakan bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada ahli persatuan, termasuk agensi pelancongan dan wakil media, mengenai produk serta destinasi yang berpotensi menarik pelancong Muslim.

“Setiap kali kita menjalankan fam trip, kita menjemput sebanyak mungkin ahli MATA untuk menyertai. Melalui lawatan ini, mereka dapat menilai sendiri kemudahan dan tarikan yang ditawarkan negara-negara tersebut untuk pasaran Muslim”.

En. Jafri Ngah Ali MATA@Ajk Eksekutif menekankan Objektif utama kehadiran kami ke Hainan, China adalah untuk memberi peluang kepada mereka melihat sendiri produk pelancongan di sini serta menilai perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan,” katanya.
Menurutnya China terbukti sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan keupayaan menarik jutaan pelancong asing setiap tahun. Justeru, lawatan ini membuka peluang kepada pemain industri pelancongan Malaysia mempelajari aspek perhotelan, restoran, pengangkutan dan khidmat pemandu pelancong di negara itu, sekali gus memperkukuh mutu perkhidmatan apabila menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.


“Pengalaman yang diperoleh di sini akan membantu pengusaha pelancongan Malaysia merangka pakej baharu, khususnya pakej mesra Muslim. Malah, ia juga menyokong hubungan dua hala dengan pasaran China yang semakin berkembang, sama ada untuk membawa pelancong Malaysia ke sini, mahupun membawa pelancong China ke Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan teknologi digital dalam memperluas capaian industri pelancongan, termasuk penggunaan laman sesawang, media sosial dan aplikasi travel planner. Akses ini memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menempah pakej percutian, sama ada secara individu atau berkeluarga, serta memudahkan komunikasi dengan ejen pelancongan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang dianggap medium penting dalam mempromosikan industri pelancongan.



“Media berperanan menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat melalui platform seperti YouTube, TikTok, Facebook dan portal berita. Ulasan dan penilaian pelancong terdahulu tentang hotel, restoran atau perkhidmatan tertentu juga sangat membantu dalam memberikan gambaran sebenar kepada bakal pengunjung. Justeru, kami amat berterima kasih kepada media yang sentiasa menyokong usaha mempromosikan industri ini,” ujarnya.
Mengenai Hainan, beliau menjelaskan bahawa wilayah itu terletak di selatan tanah besar China, bersebelahan Hanoi, Vietnam. Pulau yang luas ini dikenali sebagai “syurga makanan” dan “syurga laut” kerana keindahan pantai, cuaca tropika serta kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan.



“Hainan mempunyai banyak tarikan sesuai untuk pelancong Asia, termasuk pelancong Malaysia. Bagi Muslim, terdapat restoran halal dan hotel yang patuh syariah. Selain itu, kemudahan membeli-belah juga sangat baik dengan harga yang berpatutan. Justeru, saya menyarankan rakyat Malaysia menjadikan Hainan sebagai salah satu destinasi pilihan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa misi promosi ke China ini merupakan langkah strategik memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan Islam, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal bermula Januari depan.