KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, disaran agar mempertimbangkan semula permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri bin Abdul Hadi, dan sebaliknya menyokong usaha reformasi melalui pindaan undang-undang.
Dalam keputusan penting yang dibuat tahun lalu, Mahkamah Persekutuan telah membincangkan beberapa isu kritikal serta memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah mendapati peruntukan tersebut bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan asasi rakyat, termasuk kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman.
Sehubungan itu, Pakatan Harapan sebelum ini secara konsisten menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman dan menggesa supaya reformasi dilaksanakan. Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, Kerajaan MADANI dilaporkan telah mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan penambahbaikan terhadap akta berkenaan.
Cadangan pindaan itu bukan sahaja melibatkan Seksyen 9(5), malah turut merangkumi beberapa peruntukan lain dalam akta tersebut yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan. Usaha berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memperkukuh hak asasi dan kebebasan awam di negara ini.



