KPJ Lancar Neuroscience & Stroke Centre of Excellence di Damansara, Harapan Baharu Pesakit Strok

PETALING JAYA – KPJ Healthcare melancarkan Neuroscience & Stroke Centre of Excellence di KPJ Damansara Specialist Hospital 2 sebagai usaha memperkukuh rawatan penyakit berkaitan otak dan strok di negara ini.

Pelancaran pusat kecemerlangan itu dijangka meningkatkan keupayaan hospital dalam menyediakan rawatan yang lebih pantas dan berkesan kepada pesakit strok, selain memperluas kesedaran masyarakat mengenai penyakit berkenaan.

Pakar Neurologi, Dr. Teh Pei Chiek, berkata strok kini semakin kerap berlaku dalam kalangan golongan lebih muda, khususnya mereka yang berumur antara 40 hingga 60 tahun.

Menurut beliau, sebelum ini kebanyakan pesakit strok terdiri daripada individu berusia 60 tahun ke atas, namun trend itu kini menunjukkan perubahan ketara.

“Sekarang kita semakin banyak melihat pesakit strok dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun. Perubahan gaya hidup seperti pemakanan tidak sihat, tekanan kerja yang tinggi dan kurang tidur antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata golongan yang bekerja dalam sektor seperti kewangan, perniagaan dan industri juga sering terdedah kepada tekanan kerja yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko penyakit strok.

Dr. Teh turut menegaskan bahawa strok merupakan situasi kecemasan perubatan dan pesakit perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom awal.

Menurutnya, setiap minit yang berlalu boleh menyebabkan kerosakan pada sel otak yang tidak boleh dipulihkan.

“Dalam rawatan strok kita sering menggunakan istilah ‘time is brain’, yang bermaksud semakin cepat pesakit menerima rawatan, semakin besar peluang untuk menyelamatkan fungsi otak,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini rawatan aktif biasanya diberikan dalam tempoh empat setengah jam selepas simptom bermula.

Namun dengan perkembangan teknologi perubatan, rawatan tertentu kini boleh dilakukan sehingga 24 jam dalam kes yang sesuai.

Dr. Teh menjelaskan kira-kira 80 hingga 85 peratus kes strok berpunca daripada saluran darah tersumbat, manakala selebihnya disebabkan oleh pendarahan dalam otak.

Antara rawatan yang boleh diberikan termasuk ubat pencair darah bagi melarutkan darah beku, selain prosedur mechanical thrombectomy untuk mengeluarkan darah beku dari saluran darah di otak.

Prosedur itu dilakukan secara minimal invasif dengan memasukkan alat khas melalui saluran darah di pangkal paha atau tangan sebelum mengeluarkan darah beku yang menyumbat saluran darah di otak.

Bagaimanapun, tidak semua hospital mempunyai kepakaran dan kemudahan untuk menjalankan prosedur tersebut.

Dalam rangkaian hospital KPJ, rawatan berkenaan kini boleh dilakukan di beberapa hospital termasuk KPJ Damansara Specialist Hospital, KPJ Tawakkal Specialist Hospital dan KPJ Seremban Specialist Hospital.

Dalam pada itu, Dr. Teh berkata kesedaran masyarakat mengenai tanda awal strok juga perlu dipertingkatkan.

Beliau memperkenalkan konsep BEFAST sebagai panduan mudah untuk mengenal pasti simptom strok.

Antaranya termasuk hilang keseimbangan secara tiba-tiba, gangguan penglihatan, wajah senget, kelemahan pada tangan, percakapan tidak jelas serta keperluan mendapatkan rawatan segera.

“Jika seseorang menunjukkan simptom ini, jangan tunggu. Segera bawa pesakit ke hospital kerana masa sangat penting dalam rawatan strok,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu talian kecemasan khas untuk kes strok diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan dengan lebih cepat.

Menurut beliau, kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan pesakit mengalami kecacatan kekal.

“Sekitar 50 peratus pesakit strok boleh mengalami kecacatan kekal, manakala hanya 20 hingga 30 peratus yang berpeluang pulih sepenuhnya dan kembali bekerja,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mendapatkan pemeriksaan awal dan nasihat pakar di KPJ Damansara Specialist Hospital 2, yang kini menyediakan rawatan strok komprehensif menerusi Neuroscience & Stroke Centre of Excellence.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *