KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Misteri yang menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat akhirnya terjawab apabila usahawan dan selebriti media sosial, Nur Nilam Ortiz, mengesahkan perkahwinannya dengan Azlan Komeng telah berakhir selepas enam tahun bersama.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini bagi menjernihkan spekulasi yang semakin hangat diperkatakan di media sosial sejak kebelakangan ini.
Dengan nada tenang dan penuh kematangan, Nur Nilam menjelaskan bahawa keputusan untuk berpisah bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil pertimbangan panjang oleh kedua-dua pihak.
“Ya, perkahwinan kami telah berakhir. Namun hubungan kami tetap baik. Kami kini meneruskan peranan sebagai rakan perniagaan, sahabat yang saling menghormati serta ibu bapa kepada anak kami,” jelasnya.
Walaupun ramai yang ingin mengetahui punca sebenar perpisahan tersebut, Nur Nilam memilih untuk tidak memperincikan perkara berkenaan demi menjaga maruah serta keharmonian antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, tidak semua perkara perlu dijelaskan kepada umum, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan urusan peribadi keluarga.
“Soal bagaimana kami berpisah dan apakah penyebabnya, biarlah ia kekal sebagai rahsia antara kami. Saya tidak mahu mencipta pelbagai cerita atau alasan mengenai kegagalan mempertahankan perkahwinan ini.
“Apa yang berlaku saya anggap sebagai ketentuan takdir, dan kita harus belajar berdamai dengan takdir yang telah ditentukan. Tambahan pula tempoh iddah saya sudah berakhir, jadi saya merasakan berterus terang dengan semua pihak adalah jalan terbaik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan tersebut dibuat bagi mengelakkan spekulasi tidak berasas yang boleh mencetuskan salah faham atau cerita kurang baik mengenai mereka.
Dalam masa sama, Nur Nilam memberi jaminan bahawa hubungan antara bekas suaminya dan anak mereka, Leon yang kini berusia lima bulan, akan terus dipelihara dengan baik.
“Azlan tetap ayah kepada Leon. Saya tidak mahu hubungan mereka terjejas hanya kerana persepsi atau cerita kurang baik yang beredar. Kami masing-masing sudah melangkah ke hadapan dan kini memberi fokus kepada kehidupan serta tanggungjawab yang ada,” tambahnya.
Menariknya, walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, kedua-duanya masih mengekalkan hubungan profesional dalam dunia perniagaan.
Difahamkan Azlan masih terlibat membantu menguruskan beberapa operasi syarikat milik Nur Nilam, termasuk perkembangan terkini syarikat mereka, Nilam Empire.
Syarikat tersebut kini sedang giat meneroka peluang baharu dalam sektor kecantikan serta perkhidmatan penstriman telekomunikasi berbayar, selain terus memperkukuh rangkaian produk sedia ada.
Sidang media itu juga diadakan sebagai usaha untuk menamatkan pelbagai spekulasi yang berlegar sejak beberapa minggu lalu.
“Saya berharap selepas ini tiada lagi spekulasi atau cerita kurang baik mengenai kami. Lebih-lebih lagi kita kini berada dalam bulan yang penuh keberkatan dan bakal menyambut Aidilfitri.
“Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran untuk kita lebih matang, berani dan reda dalam setiap keputusan hidup,” katanya menutup sidang media tersebut.
Perpisahan pasangan ini dilihat sebagai satu keputusan yang dibuat secara matang, dengan keutamaan tetap diberikan kepada kesejahteraan keluarga, anak serta perjalanan kerjaya masing-masing.
Walaupun kisah cinta mereka kini berakhir sebagai pasangan suami isteri, hubungan yang terjalin sebagai ibu bapa dan rakan perniagaan dijangka akan terus kekal demi masa depan yang lebih baik.



