KUALA LUMPUR, 22 Mac — Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, hari ini menzahirkan ucapan sempena Hari Seniman Negara, yang disambut setiap 22 Mac bagi menghargai sumbangan besar penggiat seni tanah air.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata sambutan tahun ini yang membawa tema “Syawal Seni, Jiwa MADANI” menjadi simbol penghargaan kepada para seniman serta pemain industri kreatif yang berperanan memperkukuh identiti negara di samping menyatukan masyarakat melalui hasil karya mereka.
Menurut beliau, kerajaan MADANI kekal komited dalam memperkasakan sektor kreatif melalui pelaksanaan empat dasar utama, iaitu Dasar Industri Kreatif Negara, Dasar Filem Negara, Dasar Penyiaran Negara dan Dasar Muzik Negara.
“Usaha ini penting bagi memastikan industri kreatif terus berkembang secara mampan serta mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan harapan agar industri berkenaan terus maju dan memberi impak positif kepada pembangunan negara.
“Semoga industri ini terus maju, mantap dan berdaya saing. Terima kasih kepada semua penggiat seni, teruskan berkarya demi Malaysia,” ujarnya.
Hari Seniman Negara disambut setiap tahun bersempena ulang tahun kelahiran Seniman Agung, P. Ramlee, sebagai penghormatan terhadap jasa dan legasi beliau dalam dunia seni tanah air.



