Dalam perbualan bersama Alesya Alwie, yang paling ketara bukan sekadar apa yang
dikatakannya, tetapi rentak dirinya laju, penuh tenaga, dan tidak pernah benar-benar berhenti.
Dia sedar bagaimana itu dilihat. “Saya tahu orang nampak saya macam terlalu banyak, terlalu
excited, terlalu nak buat macam-macam benda,” katanya, tanpa cuba menafikan.
“Tapi itu memang cara saya.” Di sebalik persepsi itu, ada kejelasan yang tidak dibuat-buat; Alesya tidak
cuba memperlahankan dirinya demi keselesaan orang lain, sebaliknya memilih untuk memahami bagaimana dirinya berfungsi dan membina kehidupan di sekeliling ritma tersebut.
Dilahirkan di Sandakan, Sabah dan dibesarkan dalam keluarga Eurasian yang merangkumi pelbagai latar – Asia, Barat dan Afrika; Alesya membesar dalam dunia yang tidak pernah memaksa definisi yang sempit. “Saya dibesarkan dengan mindset yang tak apa untuk jadi lain.

Tak perlu fit dalam satu kategori.” Dengan keluarga yang tersebar di pelbagai negara,
pendedahan itu datang awal, tetapi kesedaran bahawa dirinya melihat dunia secara berbeza hanya muncul kemudian. “Masa kecil, saya ingat hidup ni boleh plan, macam ada sistem. Tapi bila dah besar, baru faham hidup ni tentang hurdles, tentang pilihan.” Dia mengakui bahawa di
sebalik sikapnya yang sentiasa menyebarkan semangat kepada orang lain, dia boleh menjadi jauh lebih keras terhadap dirinya sendiri. “Saya rindu versi diri saya yang dulu, yang lebih positif.”
Diagnosis ADHD yang diterimanya di Dubai pada awalnya dianggap ringan, namun kini dilihat sebagai sesuatu yang membentuk kelebihan tersendiri. “Sekarang saya anggap itu superpower
saya. Saya tak settle untuk jadi biasa.” Dalam keadaan fokus, dia mampu bergerak dengan kelajuan yang sering dipersoalkan orang lain. “Kalau saya dah locked in, saya boleh buat benda
sangat cepat. Orang kata mustahil, tapi saya hampir selalu boleh prove them wrong.” Namun dia tidak menutup sisi lain yang datang bersama kelebihan itu. “Bila burn out, saya hilang. Saya
perlu recharge. Itu bahagian yang orang tak nampak.” Sebagai pengasas Pandaception Resources, sebuah studio kandungan dan pemasaran jenama dengan klien merangkumi
Singapura, Jepun dan Australia, cara fikir ini diterjemahkan terus ke dalam kerjanya.
“Saya tak nak jadi agensi yang hanya fikir profit. Kami bina sistem, kami guna AI untuk strategise, tapi paling penting kami ajar klien buat sendiri. Kami tak nak mereka bergantung pada kami
lama-lama.” Pendekatan itu mungkin kelihatan tidak konvensional dalam industri yang sering mengutamakan kontrak jangka panjang, namun baginya, nilai sebenar terletak pada impak.
“Ramai orang fikir short-term. Saya fikir long-term. Apa yang betul-betul bantu.

Di luar kerjaya, satu hubungan yang paling membentuk cara dia melihat dunia datang daripada adiknya yang berada dalam spektrum autisme. “Dia antara sebab saya kekal grounded,” katanya, nada suaranya berubah lebih tenang. Pengalaman itu bukan mudah, ia menuntut
kesabaran, kehadiran dan ketahanan emosi yang konsisten. “Saya kena ada. Kalau Bukan saya, siapa lagi?” Namun di situlah dia memahami sesuatu yang jarang dinyatakan secara langsung. “Dia ajar saya unconditional love, walaupun dia sendiri tak faham maksud tu.” Satu momen kekal jelas dalam ingatannya, “Dia pernah cakap, ‘Kakak, you’re my best friend. Don’t
get angry at me.’”- dan dari situ, sesuatu dalam dirinya berubah. “Saya terus diam.
Sebab saya sedar, walaupun saya banyak salah, dia tetap sayang saya tanpa syarat.” Pengalaman itu turut mengubah cara dia melihat konsep normal. “Normal tu… kita yang cipta. Kalau semua sama,
macam mana kita nak jadi unik?
Apabila perbualan beralih kepada kehidupan hari ini, pandangannya kekal jelas tetapi tidak dramatik. “Sekarang ramai orang letak duit sebagai segalanya, tapi duit tu alat, bukan tujuan.”
Dia juga melihat dunia yang semakin dipenuhi gangguan, di mana kedalaman semakin jarang ditemui. “Modern life buat kita distracted. Saya jarang jumpa orang yang ada depth. Banyak
conversation sekarang sangat shallow.” Namun di tengah semua itu, dia tidak sepenuhnya pesimis. “Kadang-kadang kebahagiaan datang dari benda kecil, kalau kita betul-betul perasan.”
Tentang satu kebenaran yang mengambil masa untuk difahami, dia berhenti seketika sebelum menjawab, “Tak semua benda dalam hidup perlu ada jawapan. Kadang-kadang kita hanya perlu teruskan.” Dan tentang apa yang benar-benar penting, jawabnya ringkas, “Keikhlasan, dalam
apa yang kita buat, dan dengan siapa kita pilih untuk kekal.”
Walaupun ramai datang kepadanya untuk mendapatkan pandangan, Alesya tidak melihat dirinya sebagai suara yang perlu sentiasa didengari. “Saya pilih bila untuk bercakap.” Namun satu perkara yang dia percaya perlu lebih banyak dibuka adalah kejujuran, terutamanya dalam
kerja. “Saya tak boleh kerja dengan orang yang saya tak trust. Letak semua atas meja, baru boleh jalan.” Dalam masa yang sama, arah yang ingin dibinanya jelas, “Saya nak bagi balik kepada komuniti, bantu small businesses” – dan bagaimana dia mahu dikenang juga tidak kompleks. “Seseorang yang membantu, tak kisah siapa.
Di penghujung perbualan, apabila ditanya apa yang akan dia katakan kepada mereka yang merasa tidak sesuai di mana-mana, jawapannya datang tanpa ragu. “Cipta ruang sendiri.
Jangan tunggu tempat untuk terima kita.” Dia berhenti seketika, kemudian menambah dengan nada yang lebih lembut, “Dan jangan berhenti bermimpi. Ramai orang terlalu fokus pada realiti
sampai lupa mimpi itu permulaan kepada realiti.” Dalam dunia yang sering menuntut kepastian dan keseragaman, Alesya memilih untuk kekal dengan sesuatu yang lebih asas tetapi jarang – “Pada akhirnya, yang paling penting adalah niat, dan bagaimana kita hadir dalam hidup orang lain.



