Cadangan ADUN Lantikan Johor Cetus Kebimbangan, Jimmy Puah Sifatkan Cabaran Terhadap Demokrasi

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Johor bagi memperluaskan komposisi Dewan Negeri dengan penambahan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan mencetuskan kebimbangan terhadap prinsip demokrasi.


Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menegaskan bahawa langkah tersebut bukan sekadar pelarasan pentadbiran, sebaliknya satu cabaran langsung terhadap legitimasi sistem demokrasi.
Menurut beliau, cadangan itu akan menyaksikan komposisi Dewan Negeri berubah daripada 56 ADUN dipilih kepada 56 ADUN dipilih serta lima ADUN lantikan yang tidak melalui proses pilihan raya.


“ADUN lantikan ini tidak mempunyai kawasan, tidak mempunyai pengundi dan tidak dipilih melalui pilihan raya, namun diberikan hak yang sama termasuk untuk bersuara dan mengundi dalam Dewan,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau turut membangkitkan kebimbangan bahawa mekanisme tersebut berpotensi membuka ruang kepada pelantikan individu yang tidak mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya.


Katanya, situasi itu boleh mewujudkan persepsi “pintu belakang” kepada kuasa apabila individu yang ditolak pengundi berpeluang kembali ke Dewan melalui pelantikan politik.


Selain itu, beliau menegaskan cadangan berkenaan turut menjejaskan prinsip asas demokrasi iaitu “satu orang, satu undi”.
“Seorang ADUN yang mendapat puluhan ribu undi diberikan kuasa yang sama dengan ADUN lantikan yang tidak menerima satu undi pun. Maka, apakah nilai sebenar undi rakyat?” soalnya.


Dari sudut akauntabiliti, beliau berkata ADUN yang dipilih perlu bertanggungjawab kepada pengundi dan boleh digantikan melalui pilihan raya, berbeza dengan ADUN lantikan yang hanya tertakluk kepada pihak yang melantik.


Jimmy Puah turut mempersoalkan rasional cadangan itu dalam keadaan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, termasuk implikasi penggunaan dana awam bagi menampung jawatan tambahan berkenaan.
Menurutnya, cadangan tersebut juga berpotensi menjadi alat patronaj politik untuk melantik sekutu atau memberi ganjaran kepada pihak tertentu.


Beliau berkata langkah itu bukan sahaja boleh melemahkan makna pilihan raya, malah berisiko menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk menilai semula cadangan pindaan tersebut agar tidak menjejaskan prinsip asas demokrasi serta mandat rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *