PETALING JAYA — Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kelab Golf Negara Subang bagi melaksanakan projek naik taraf sistem perparitan di Jalan SS 7/2 dan SS 7 dalam usaha memperkukuh langkah tebatan banjir di kawasan Kelana Jaya.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon bersama Timbalan Presiden KGNS, En. Abdul Majid bin Md Yusof, serta disaksikan beberapa pegawai kanan kedua-dua pihak.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Y.B. Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah.
Menurut MBPJ, inisiatif itu merupakan langkah proaktif pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu banjir secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, khususnya di kawasan berisiko.
“Projek naik taraf sistem perparitan ini merupakan usaha berterusan MBPJ dalam memperkukuh infrastruktur saliran sedia ada, khususnya di kawasan berisiko seperti Kelana Jaya.
“Ia bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko banjir, malah memberi penekanan kepada aspek keselamatan awam dan kesejahteraan penduduk,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama strategik bersama KGNS turut membenarkan penggunaan tanah tanpa bayaran pampasan atau sewaan, sekali gus mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menyokong agenda pembangunan bandar.
Projek berkenaan melibatkan penggunaan tanah seluas kira-kira 3,150 meter persegi dengan jajaran sepanjang 630 meter yang akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan sistem perparitan baharu mengikut spesifikasi teknikal ditetapkan.
MBPJ memaklumkan projek itu akan dilaksanakan secara profesional dan terancang dengan skop kerja merangkumi pembinaan sistem perparitan, pemasangan pagar anti-panjat serta jaring keselamatan selain pembinaan semula laluan pacu lasak di kawasan terlibat.
Pelaksanaan projek juga akan dikendalikan oleh kontraktor dilantik dengan perlindungan insurans pihak ketiga bagi menjamin keselamatan pekerja, harta milik KGNS dan orang awam sepanjang tempoh pelaksanaan.
Sejurus projek siap sepenuhnya, kemudahan seperti pagar, jaring keselamatan dan laluan pacu lasak akan diserahkan kepada pihak KGNS untuk tujuan penyelenggaraan berkala dan pemantauan keselamatan.
Kerjasama itu dijangka berlangsung sehingga 13 Mac 2055.



