KUALA LUMPUR — Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Ke-24 Bilangan 1 Tahun 2026 yang memberi fokus kepada pengukuhan literasi kewangan rakyat serta persediaan negara menghadapi cabaran perubahan demografi menjelang tahun 2060.
Dalam kenyataan media selepas mesyuarat itu, beliau berkata dapatan Kajian Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 oleh Bank Negara Malaysia� menunjukkan peningkatan pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat masih belum diterjemahkan kepada tingkah laku kewangan yang positif.Menurut beliau, sebanyak 31 peratus rakyat didapati tidak mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas manakala 26 peratus lagi sering mengalami kehabisan wang.
“Literasi kewangan bukan sekadar soal pengetahuan, tetapi turut melibatkan disiplin dan perancangan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata ramai rakyat masih mempunyai tahap daya tahan kewangan yang rendah terutama apabila tidak memiliki simpanan kecemasan mencukupi, perlindungan insurans atau takaful serta perancangan persaraan yang kukuh khususnya dalam kalangan belia.
Sehubungan itu, kerajaan bersetuju supaya agenda literasi kewangan diperkasakan melalui integrasi pendidikan kewangan dalam program kementerian dan agensi termasuk pelaksanaan modul Financial Education Network (FEN) serta peluasan hebahan kesedaran kewangan kepada masyarakat.
Mengulas mengenai unjuran kependudukan Malaysia menjelang 2060, Ahmad Zahid berkata peningkatan populasi warga emas memerlukan kesiapsiagaan menyeluruh daripada semua pihak.Katanya, usaha memperluaskan perlindungan sosial, meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan memperkukuh sokongan komuniti perlu diperkasa bagi memastikan golongan warga emas terus dilindungi, dihargai dan mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.
Pada masa sama, beliau turut melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 yang dibangunkan menerusi kerjasama antara 32 agensi melibatkan kementerian, kerajaan negeri, sektor swasta dan komuniti.Menurut beliau, walaupun pelbagai inisiatif sosial telah dilaksanakan sebelum ini, isu pertindihan dan kurang penyelarasan masih berlaku menyebabkan PTDSN dirangka secara lebih menyeluruh bagi memperkukuh koordinasi dan mengoptimumkan sumber.
PTDSN dibangunkan berasaskan empat teras utama Dasar Sosial Negara 2030 serta merangkumi 17 bidang keutamaan, 18 strategi dan 102 inisiatif dengan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.
Beliau berharap Majlis Sosial Negara terus memainkan peranan sebagai platform tertinggi negara dalam membincangkan isu sosial secara komprehensif demi memastikan pembangunan sosial yang inklusif dan kesejahteraan rakyat dapat diperkasa secara holistik.



