Warisan Budaya Mampu Tarik Pelancong, Manfaat Ekonomi Perlu Kembali Kepada Komuniti – Chiew

MELAKA, 31 Oktober 2026 – Warisan kebudayaan bukan sekadar khazanah sejarah, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang menawarkan pengalaman autentik kepada pengunjung, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada komuniti yang memeliharanya.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man berkata, pelancong masa kini bukan sahaja mahu melihat sesuatu destinasi, tetapi turut mencari pengalaman yang membolehkan mereka memahami kisah di sebalik warisan serta berinteraksi dengan masyarakat tempatan.

YB Tuan Chiew Choon Man

Menurut beliau, elemen seperti makanan, muzik, tarian, kraftangan, permainan dan amalan tradisional mampu memperkayakan pengalaman pelancongan budaya, sekali gus menjadikan warisan kebudayaan tidak ketara sebagai aset penting dalam pembangunan sektor pelancongan negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan pelancongan berasaskan warisan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dikembalikan kepada komuniti tanpa menjejaskan keaslian dan nilai warisan berkenaan.

Gerai jualan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 di Muzium Istana Kesultanan Melaka, malam tadi.

Festival yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November itu mengetengahkan kepelbagaian warisan budaya Malaysia bersama lima negara lain, iaitu Brunei Darussalam, Republik Rakyat China, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Pantun

Antara warisan yang diketengahkan ialah Upacara Wangkang, pantun dan kebaya yang mendapat pengiktirafan UNESCO melalui pencalonan bersama, selain Chingay dan Tarian Singa yang turut menjadi tumpuan dalam usaha kerjasama perlindungan warisan budaya.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai pengisian termasuk perarakan warisan, pameran pertukaran budaya, demonstrasi dan peragaan kebaya, persembahan kebudayaan serta jualan produk warisan.

Tarian Singa

Kepelbagaian pengisian itu memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali tradisi masyarakat berbeza, di samping memahami nilai dan cerita yang membentuk identiti sesuatu komuniti.

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN), dengan kerjasama strategik Kerajaan Negeri Melaka dan The International Training Center for Intangible Cultural Heritage in the Asia-Pacific Region under the Auspices of UNESCO (CRIHAP), turut menjadi platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara negara.

Penganjuran itu merangkumi Bengkel Antarabangsa Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang memberi tumpuan kepada perbincangan pendekatan perlindungan warisan serta usaha memastikan ilmu dan kemahiran tradisional terus diwariskan.

Permainan Congkak

Dalam pada itu, Chiew berharap festival berkenaan dapat memperkukuh kerjasama antara negara dalam usaha melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, selain membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pelancongan budaya dan pembangunan komuniti.

Festival Pertukaran Budaya 2026 yang berlangsung sehingga 1 November ini di Pekarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara warisan budaya, sekali gus memastikan tradisi dan ilmu yang diwarisi terus diamalkan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *