KUALA LUMPUR, 2 Mac 2026 – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam keras tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, sambil menyifatkannya sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, menegaskan perang dan paksaan tidak boleh dijadikan instrumen dasar luar, sebaliknya perlindungan orang awam mesti menjadi keutamaan sejagat.
Beliau turut menolak alasan pengayaan uranium Iran sebagai justifikasi serangan yang didakwa boleh membawa kepada agenda pertukaran rejim.
MAPIM menggesa Malaysia memainkan peranan diplomatik lebih aktif, termasuk berunding dengan negara-negara Islam seperti Mesir bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat dan media agar bertanggungjawab, menolak maklumat palsu serta memelihara perpaduan nasional ketika situasi global semakin tegang.
Terdahulu, Mohd Azmi membacakan deklarasi yang menuntut penghentian perang, penghormatan terhadap kedaulatan Iran serta usaha diplomasi diperkasa bagi mengelakkan konflik terus meruncing.



