PEMENTASAN KARYA AGUNG “SIRIH BERTEPUK PINANG MENARI” PENGHORMATAN KEPADA TOKOH SASTERAWAN NEGARA DATUK NOORDIN HASSAN

  • November 17, 2024
  • 4 min read
PEMENTASAN KARYA AGUNG “SIRIH BERTEPUK PINANG MENARI” PENGHORMATAN KEPADA TOKOH SASTERAWAN NEGARA DATUK NOORDIN HASSAN

KUALA LUMPUR, 14 November 2024 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Pementasan Karya Agung Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan berjudul “Sirih Bertepuk Pinang Menari”. Program ini merupakan salah satu usaha pembangunan dan pelestarian kesenian teater, memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka serta menggalakkan pementasan karya bermutu tinggi.

Dramatis SN Datuk Noordin Hassan kelahiran Pulau Mutiara merupakan Sasterawan Negara ke-7 yang unik, kreatif dan prolifik. Kemunculan beliau dalam dunia drama Melayu moden dan teater tanah air telah memberi nafas baru dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Keberanian beliau dalam mengutarakan konsep pendramaan baru yang bersifat anti-realisme iaitu drama absurd dan eksperimental telah membuka dimensi baru dalam dunia drama di Malaysia.

Sepanjang penglibatannya sebagai penulis dan pengarah drama sejak tahun 1953, beliau telah menghasilkan lebih 30 puluh buah drama. Pembaharuan yang dilakukan oleh beliau adalah mengetengahkan konsep teater fitrah dan sering bereksperimen dengan bentuk drama baru berlandaskan tradisi budaya Melayu. Noordin Hassan ialah seorang penulis drama yang menggunakan pemikiran intelektualnya dengan karya mencuit minda pembaca dan penonton dan membiarkan mereka untuk mencari jawapan seterusnya. Antara karya terkenal beliau ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, Anak Tanjung, Jangan Bunuh Rama-rama, Cindai, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Tiang Seri Tegak Berlima, dan Mana Setangginya.

Program di diharapkan akan menjadi daya tarikan pelancong juga menjadi platform kepada pengkarya seni budaya untuk mementaskan karya-karya seni budaya berteraskan negeri-negeri seperti tari, muzik dan teater”.

Teater “Sirih Bertepuk Pinang Menari’ Karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan arahan Dr. Marlenny Deenerwan ini akan berlangsung pada 29 & 30 November 2024 serta 1 Disember 2024 jam 8.30 malam di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pementasan ini juga akan turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 30 November 2024 jam 8.30 malam.

Mementaskan karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan merupakan impian Dr. Marlenny Deenerwan (Lenny Erwan) yang menjadi kenyataan. Beliau memilih untuk mengangkat drama Sirih Bertepuk Pinang Menari, selain cuba meneroka dimensi akal seorang absurdis/ surealis/ eksperimentalis Malaysia ini.

Marlenny sebenarnya menyanjung aliran fitrah yang menjadi teras dan tunjang kepada pemikiran Noordin Hassan juga dikenali sebagai Cikgu Noordin ketika berkarya. Beliau percaya bahawa kotak fikir seorang SN Datuk Noordin Hassan adalah sebuah representasi mental di luar konteks yang real, maka dimensi interpretasi juga harus melawan arus logik. Dengan sekumpulan pelakon dan pasukan produksi yang baik, mereka cuba menyampaikan apa yang mereka fahami. Bak kata cikgu Noordin dalam drama ini, “kalau mustahil apa dikata, carilah pula apa tersirat“.

Sirih Bertepuk Pinang Menari menghimpunkan 47 anggota produksi di mana 25 daripadanya adalah pasukan pengurusan dan kreatif termasuk Along Hazirin (Penerbit), Penolong Pengarah (Nik Aqil), Pereka Muzik dan Audio (Birgitta Abeysekra), Pereka Cahaya (Remy Eldhani), Pereka Set dan Prop (Triple 8 Production), Koreografer dan Penyelaras Busana/Tatarias (Wandie Arts Performance).

Seramai 22 pelakon telah menjalani latihan sejak 22 September 2024. Mereka terdiri daripada kombinasi pelakon-pelakon lama dan baharu seperti Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi, Shasha Fairus dan ramai lagi.

Bukan setiap hari kita berpeluang untuk menonton sebuah karya yang penuh dengan makna dalam penceritaan, malah bukan mudah untuk ditafsir, kisah yang penuh dengan pendekatan fitrahnya dan pemikiran yang unik dari seorang tokoh yang sangat disanjungi. Sirih Bertepuk Pinang Menari sebuah teater yang boleh mengajar kita semua untuk berfikir dengan lebih kritis lagi dan tahu untuk menghargai sesebuah karya yang tidak mudah ditafsir dengan pemikiran yang biasa.

Bagi mencambah lagi pemikiran masyarakat untuk mendekati alam fikir seorang Noordin Hassan, sebuah forum berjudul “Noordin Hassan: Eksperimentalis Yang Merentas Masa” akan diadakan pada 30 November 2024 (Sabtu), jam 2.00 petang bertempat di Balai Seminar Aras 6, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Para panelis yang diundang membicarakan tajuk ini adalah Sasterawan Negara Dato’ Anwar Rethwan, Tan Sri Johan Jaaffar, Dr Norzizi Zulkifli bersama moderator Kamarulzaman Taib atau Chekem. Forum ini terbuka secara percuma kepada orang ramai.

“Tidak hanya pementasan teater, penganjuran program ini turut disokong oleh majlis ilmu yang mengupas mengenai karya Sirih Bertepuk Pinang Menari melibatkan Sasterawan Negara, tokoh media dan juga pakar dalam teater moden dan tradisi. Ulas Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataannya hari ini.

Pas masuk berharga RM20 untuk Orang Awam dan RM15 untuk pelajar/ warga emas/ OKU boleh didapati dengan mengimbas kod QR pada poster di dalam media sosial Instagram rumpunsenimekarbudaya. Untuk makluman lanjut, hubungi atau Whatsapp di talian 010-8226091 (Cik Aroha)/ 018-2494933 (Cik Arissa).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *