SERUMPUN BERPESTA DI TAPAUFEST 2022 : TASIK RABAN MENJADI SAKSI!
Lebih 3000 pengunjung ke TAPAUfest 2022 merasai pengalaman baharu dengan kurasi muzik, seni berlatarkan nuansa alam pada hujung minggu yang gemilang di Tasik Raban, Lenggong, Perak, sebuah lokasi warisan UNESCO yang menempatkan salah satu rangka manusia purba paling lengkap di Asia Tenggara.
Pengunjung dari pelbagai latar – kaki seni, rockers, dan pencinta alam tanpa mengira jantina, serta seisi keluarga, masing-masing mengisi masa dengan bersantai – berkhemah, menikmati tasik nan indah di sini, yang kaya dengan pelbagai sejarah dan budaya nusantara.
Kesediaan TAPAUfest menyediakan sebuah festival muzik dan seni yang unik dengan nuansa alam semula jadi begitu rapi dengan menyediakan pengangkutan ulang-alik oleh Majlis Daerah Lenggong, yang membawa pengunjung dari kawasan parkir ke pintu masuk festival di mana kedatangan pengunjung dialu-alukan oleh ‘teamTAPAU’ sebelum mengimbas kod QR, kemudiannya pengunjung akan diberikan tag pergelangan tangan sebagai tanda kehadiran merayakan TAPAUfest.
Sebaik sahaja kaki melangkah pintu masuk, pengunjung akan terus merasai suasana sebuah festival dengan bunyian muzik yang dipancarkan dari pasar ‘PASAR SERBA SERBI’. Konsep tersebut diinsipirasikan dari Woodstock dengan dipenuhi khemah yang dihiasi dengan warna- warna pop. Di ‘PASAR SERBA SERBI’, terdapat jualan pakaian terpakai, rilisan fizikal, karya seni dan kraf selain selekta muzik daripada DJ kolektif Disko Santan.
TAPAUfest juga dipenuhi dengan aroma menyenangkan yang datang dari reruai ‘WARUNG’, yang menyajikan pelbagai pilihan makanan jalanan tempatan. Sebut sahaja, dari keropok lepok ke teh tarik, dari burger Ramly ke ayam penyet, pastinya enak untuk dinikmati oleh semua orang.
‘BENGKEL & LAYAR bersama KAKISENI’ menyampaikan sedikit ilmu kepada pengunjung melalui sesi seperti ‘Unravelling Lenggong’ oleh En. Khairul Ameer (Majlis Daerah Lenggong) dan bengkel seperti ‘Wayang Kulit for Dummies’ dan tayangan filem pendek.
Tepat jam 5 petang, pengumuman dari MC mula bergema di seluruh Tasik Raban, pengunjung festival terus menuju ke “PENTAS” dengan kerusi perkhemahan mudah lipat dan tikar berkelah di tangan untuk menyediakan tempat dan pemandangan terbaik iaitu menghadap tasik dan pergunungan, sebelum bersedia menyaksikan dan menikmati persembahan oleh musisi indie terbaik dari rantau ini seperti tema yang dibawakan #SerumpunBerpesta.
Pentas dibuka dengan persembahan yang memukau oleh .Feast dari Indonesia, sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton Malaysia secara langsung buat pertama kalinya.
Seterusnya, Margasatwa menyampaikan runut bunyi begitu sempurna dengan pemandangan matahari terbenam nan indah di Tasik Raban sebelum memberi laluan kepada waktu rehat Maghrib.
Persembahan malam itu dimulakan dengan Abangsapau dari Singapura menunjukkan mengapa dia lebih daripada sekadar penyanyi rap atau penghibur, tetapi juga seorang pencerita dengan mesej-mesej tentang menangani rasa tidak selesa dengan tubuh badan sendiri. Seterusnya, The Times membuat penonton melompat dan menyanyi bersama-sama dengan lagu-lagu indie rock mereka sebelum The Pinholes dari Singapura mengambil alih dengan persembahan yang sesuai untuk menyambut ulang tahun ke-20 mereka sebagai sebuah kugiran tahun ini.
Baru sahaja Salammusik hendak masuk ke pentas, hujan renyai mula membasahi, memberikan suasana terbaik untuk persembahan penutup yang epik untuk hari pertama TAPAUfest dengan semua orang bangkit dari kerusi mereka untuk menyanyi dan menari dalam hujan sebagai meraikan kecintaan mereka terhadap muzik, seni dan alam semula jadi. Alunan muzik kemudiannya diteruskan sehingga larut malam dengan peserta perkhemahan di “Tapak Perkhemahan Santuy” menikmati persembahan akustik di tepi api diiringi kopi dan berbual.
Keesokan paginya, bikepackers di “Outsiders Campout”, berangkat ke air terjun di Lata Perahu, salah satu tarikan di Lenggong. Pengangkutan ulang-alik juga membawa peserta perkhemahan ke Lata Kekabu dan Rumah Ayah An Rusa sebelum aksi “PENTAS” bermula pada hari ke-2.
Mengekalkan nuansa pada hari pertama, Kungfu Heidi menyampaikan persembahan energetic dengan gabungan hardcore dan hip hop diiringi Serbuk Cheese. The Dare kemudian membawa gelombang twee pop tropika dari Lombok ke Lenggong memberikan satu lagi detik bermakna untuk pengunjung festival sambil menyaksikan matahari terbenam.
Persembahan malam dimulakan dengan set paling menarik perhatian di TAPAUfest dengan The Filters menyampaikan persembahan begitu kemas dan tersusun selain aksi mereka di belakang pentas menghangatkan lagi suasana malam itu. Sobs dari Singapura kemudiannya mengambil alih pentas dengan mempersembahkan lagu kegemaran ramai serta lagu-lagu dari album baharu mereka “Air Guitar” sebelum Sweetass muncul dengan bunyian fuzz-grunge diatas pentas TAPAUfest.
Ketika orang ramai mula berkumpul di hadapan pentas, dapat dirasakan segala aura dan tenaga untuk menantikan kemunculan Hindia. Jelas sekali kumpulan dari Jakarta itu tidak mengecewakan. Hindia menyampaikan persembahan meliputi 12 trek yang menarik dan mengasyikkan. Baskara Putra, penulis lagu dan frontman Hindia memadankan tenaga penonton selain menunjukkan mengapa dia dianggap sebagai salah satu kemunculan terbaik di rantau ini.
Muzik TAPAUfest 2022 – serupa dengan banyak festival utama yang berkaliber – dipenuhi para belia penuh semangat. Namun, ia lebih daripada sekadar hiburan, kerana kumpulan seperti The Dare memberikan kesedaran mengenai serangan seksual dengan sepanduk merah jambu terang, Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese menyampaikan keadilan sosial dalam lagu mereka, Salammusik menggunakan reggae dan ska sebagai wadah untuk berbicara mengenai sosiopolitik, sementara Hindia mempromosikan kasih sayang, cinta dan perhatian melalui muzik
mereka. Ini adalah nilai tambah untuk pengunjung dalam membentuk generasi masa hadapan yang lebih baik.
Setelah persembahan berakhir pada malam minggu penuh bintang di langit Tasik Raban, lagu ‘Hijau’ oleh Zainal Abidin dimainkan untuk pengunjung mengambil sedikit masa melakukan pembersihan di kawasan sekeliling bagi memastikan segalanya dijaga dengan baik. Disini, dapatlah kita lihat TAPAUfest tidak hanya mengenai pesta, tetapi juga sebuah peluang untuk menghubungkan nilai positif antara komuniti setempat.
Pengasas dan juga pengarah TAPAUfest, Ahmad Faris berkata, “Sambutan terhadap
TAPAUfest tahun ini adalah amat positif. Daripada pengunjung festival, musisi jemputan tempatan dan antarabangsa serta komuniti indie secara amnya, dapat merasakan suasana yang baik walaupun sudah pasti ada ruang untuk penambahbaikan, kami amat berbangga kerana semuanya bersatu.”
Ahmad Faris juga mengatakan, “Adalah satu penghormatan besar untuk mempunyai Majlis Daerah Lenggong sebagai penyokong kami. TAPAUfest tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan CENDANA yang benar-benar menunjukkan kepercayaan mereka kepada komuniti indie sekali lagi!
Terima kasih juga kepada Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan PTT Outdoor kerana mempercayai kami untuk memartabatkan Lenggong, seni dan budaya Asia Tenggara.”