RANGKAIAN COOP FARMASI DIPERLUAS, ANGKASA METERAI PERJANJIAN DENGAN KOPUTRA

  • November 3, 2022
  • 2 min read
RANGKAIAN COOP FARMASI DIPERLUAS, ANGKASA METERAI PERJANJIAN DENGAN KOPUTRA

KELANA JAYA, 3 NOVEMBER 2022- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperluaskan salah satu rangkaian perniagaan penjagaan din dan kesihatan yang boleh diceburi oleh gerakan koperasi dengan memeterai perjanjian bersama-sama Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) pada hari ini di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.

ANGKASA diwakili oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan KOPUTRA diwakili oleh Pengerusinya, Tuan Haji Zaharuddin Bin Alias dalam pemeteraian perjanjian ini.

Antara objektif perjanjian rangkaian Coop Farmasi ini adalah untuk membangunkan rangkaian farmasi koperasi yang kukuh dalam industri kesihatan bagi memacu perniagaan koperasi serta memberi lebih daya saing dalam pasaran terbuka termasuklah menawarkan produk kesihatan dengan harga yang kompetitif kepada anggota koperasi dan pengguna. Perniagaan dalam bidang farmasi ini juga secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta membantu memenuhi keperluan kesihatan masyarakat.

Rangkaian Coop Farmasi merupakan inisiatif yang dibangunkan oleh ANGKASA dalam membantu gerakan koperasi di seluruh Malaysia menceburi bidang perniagaan farmasi yang mana sehingga kini terdapat enam (6) buah premis Coop Farmasi yang telah diwujudkan. Empat (4) buah premis Coop Farmasi dimiliki oleh ANGKASA manakala dua (2) buah lagi dimiliki oleh Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (KOGURU) dan KOPUTRA yang bertempat di Setia Alam, Selangor.

Sementara itu dua (2) lagi Coop Farmasi milik koperasi akan diwujudkan menjelang Disember 2022 iaitu milik Koperasi Felda Sungai Koyan III Raub Berhad dan Koperasi Majlis Perbandaran Dungun Berhad.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Coop Farmasi turut dalam peringkat awal menggunapakai kemudahan sistem digitalisasi kesihatan yang membolehkan pesakit mendapatkan khidmat nasihat doktor atau pakar kesihatan secara dalam talian. Preskripsi ubat akan dihantar ke Coop Farmasi berdekatan secara dalam talian dan pesakit boleh memilih untuk mengambil ubat di Coop Farmasi atau dihantar ke rumah masing-masing. Penggunaan sistem ini dijangka boleh menjimatkan sehingga 40% daripada kos mendapatkan rawatan di klinik biasa.

Pada masa yang sama, ANGKASA giat mengadakan pertemuan dan perbincangan untuk menggalakkan Koperasi Komuniti Farmasi di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan menyertai Jaringan Coop Farmasi bagi meluaskan dan mengukuhkan rangkaian perkhidmatan Coop Farmasi di pasaran. ANGKASA menyasarkan 100 buah koperasi akan menyertai jaringan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *