Titah Agong Perangi Rasuah Warnai Minggu Pertama Persidangan Parlimen

KUALA LUMPUR: Ketegasan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam usaha membanteras rasuah menjadi fokus utama pada minggu pertama persidangan Dewan Rakyat yang memulakan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15, Isnin lalu.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa rasuah merupakan pengkhianatan terhadap negara dan tidak boleh ditoleransi tanpa mengira pangkat atau kedudukan, termasuk dalam kalangan wakil rakyat, anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam.

Dalam titah perasmian persidangan Parlimen, Baginda turut mengingatkan bahawa usaha membasmi rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan penerima, pemberi serta mana-mana pihak berkaitan, selain menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas, pantas dan adil tanpa campur tangan.

Selain isu rasuah, Sultan Ibrahim turut menekankan kepentingan menjaga keharmonian negara dengan tidak memainkan sentimen 3R, memartabatkan bahasa Melayu, mempertahankan asas pembentukan negara melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta memberi perhatian terhadap ancaman keselamatan digital termasuk penyalahgunaan teknologi deepfake.

Baginda juga menyentuh keperluan memperkukuh institusi demokrasi, antaranya cadangan had dua penggal jawatan Perdana Menteri.

Seiring titah tersebut, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengingatkan Ahli Parlimen supaya menjaga adab perbahasan dan mematuhi peraturan, selain menumpukan perhatian kepada agenda utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Setakat ini, seramai 41 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan minggu pertama turut menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab beberapa isu utama, termasuk pendirian berhati-hati Malaysia terhadap cadangan penubuhan Jawatankuasa Keamanan Gaza, status perundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat, serta pendirian tegas negara dalam isu geopolitik antarabangsa.

Dari sudut ekonomi, Anwar memaklumkan jumlah perdagangan Malaysia bagi tahun 2025 dijangka mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, mencecah RM3 trilion.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari sehingga 3 Mac, manakala Dewan Negara dijadual bermula pada 23 Februari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *