ANGKASA Selangor Terima Kunjung Hormat dan Perbincangan Bersama Koperasi Industri Rakaman Muzik Berhad (KOIRAMA)

9 Mac 2026 (Isnin) – ANGKASA Selangor telah menerima satu kunjung hormat dan mengadakan sesi perbincangan bersama Koperasi Industri Rakaman Muzik Berhad (KOIRAMA) bagi membincangkan cadangan penganjuran pertandingan cipta lagu yang melibatkan produk koperasi di Malaysia.

Perbincangan ini telah di pengerusikan oleh YBhg Dato’ Hj. Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Selangor. Turut hadir adalah ; Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad, Timbalan Pengerusi; Pn. Che Al-Mahera Che Ibrahim, Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN); En. Abdul Alim bin Samsol Kamal, Penolong Pegawai Kerja; serta En. Mohd Zabid Roslan, Penolong Pegawai, ANGKASA Negeri Selangor.

Manakala wakil daripada pihak KOIRAMA ialah Hj. Rozman bin Abbas, Setiausaha Koperasi; En. Ayob Abd Majid, Pengerusi; dan En. Rosli bin Sabtu, Ahli Lembaga Koperasi (ALK).

Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak KOIRAMA telah berkongsi cadangan untuk menganjurkan satu pertandingan cipta lagu yang berasaskan produk koperasi. Melalui pertandingan ini, koperasi yang berminat boleh menyertai dengan menghantar maklumat berkaitan produk koperasi masing-masing serta membuat bayaran penyertaan sebanyak RM300.

Melalui penyertaan tersebut, koperasi yang terlibat akan memperoleh sebuah lagu promosi yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan dibangunkan oleh komposer lagu yang terkenal serta berkelayakan dalam industri muzik. Lagu tersebut boleh digunakan oleh koperasi untuk tujuan promosi produk dan dipasarkan secara meluas melalui platform media sosial bagi meningkatkan lagi penjenamaan serta capaian pasaran produk koperasi.

Selain itu, pertandingan ini juga secara tidak langsung dapat membantu koperasi-koperasi di Malaysia mempromosikan produk masing-masing melalui pendekatan kreatif dan inovatif dalam bentuk muzik. Koperasi yang lagunya terpilih atau tercalon sebagai lagu terbaik juga berpeluang menerima ganjaran yang lumayan sebagai penghargaan terhadap penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut.

Perbincangan ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara ANGKASA dan KOIRAMA dalam usaha memperkenalkan pendekatan baharu bagi membantu koperasi mempromosikan produk mereka melalui industri kreatif dan platform digital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *