KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Kementerian Perpaduan Negara memandang serius beberapa insiden terbaru yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.
Antara insiden yang dibangkitkan termasuk pembakaran tiga kenderaan milik aktivis masyarakat Cikgu Chandra, penyebaran video seorang lelaki yang memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, serta serangan terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth.
Menurut kementerian itu, sebarang bentuk keganasan, provokasi agama atau tindakan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak boleh diterima dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan undang-undang.
Pada masa sama, rakyat Malaysia diseru agar tidak bertindak secara emosional atau menyebarkan spekulasi terutama di media sosial, sebaliknya menangani sebarang perbezaan pandangan melalui saluran yang betul.
Kementerian Perpaduan Negara menegaskan bahawa nilai perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara agama serta budaya perlu terus dipelihara demi memastikan keamanan dan kestabilan negara.



