Cadang naikkan siling padi kepada RM 1,500 setiap tan, subsidi tambahan RM200 kepada pesawah – Syed Abu Hussin
CYBERJAYA – Pasukan Petugas Pemantauan Kluster Makanan mencadangkan kepada Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) agar harga siling padi dinaikkan dari RM1,300 kepada RM1,500 setiap tan dan RM200 sebagai subsidi tambahan kepada pesawah agar meningkatkan pengeluaran padi.
Ketuanya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia bertujuan untuk memastikan beras putih Madani boleh dijual pada harga RM30 berbanding RM40 bagi setiap 10 kilogram ketika ini.
“Setelah perbincangan, kita meneliti bahawa harga lantai perlu dinaikkan kepada RM1,500 dari RM1,300 bila berlaku turun naik di pasaran dunia, pendapatan pesawah tidak akan terjejas.
Menurutnya, apabila kenaikan pembelian padi berlaku, maka kos-kos input pertanian seperti baja, bajak dan sebagainya turut meningkat.
“Pengilang tak boleh beli padi RM1,700 untuk jual RM30, pengilang boleh beli pada harga RM1,500 atau RM1,400 satu tan sahaja jika ingin menjual pada harga RM30,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
“Perbezaan RM1,700 dengan RM1,500 iaitu RM200 itu kita akan cadangkan kepada kerajaan untuk membantu pesawah melalui SUBSIDI tambahan.
“Kita cuba menjelaskan kepada kerajaan dan rakyat bahawa inilah kaedah ada yang boleh kita terima bersama walaupun agak berat,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan hanya perlu memperuntukkan sehingga RM360 juta untuk memberikan subsidi tambahan RM200.
“Dalam Mesyuarat lepas ada disebutkan subsidi bersasar, jumlahnya lebih besar berbanding dengan subsidi kepada pesawah.
“Ia akan mewujudkan satu inisiatif baharu supaya pesawah lebih serius dalam mengusahakan padi dan sehingga kita dapat memenuhi SSL negara,” katanya lagi.