MBPJ Salur RM60,000 Sumbangan Aidilfitri Kepada Anak Yatim dan Keluarga Kurang Berkemampuan

PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyalurkan RM60,000 sumbangan Aidilfitri kepada 150 anak yatim dan 100 keluarga kurang berkemampuan menerusi Majlis Iftar Warga Kerja MBPJ Bersama Anak-Anak Yatim di Laman MBPJ.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Haji Mohamad Zahri Samingon, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MBPJ membantu golongan memerlukan menjelang Hari Raya Aidilfitri.


Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen MBPJ dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus dipelihara, khususnya bagi membantu golongan kurang berkemampuan di bandar raya tersebut.


Dalam majlis itu, 150 anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga kerja MBPJ serta anak-anak dari kariah Masjid Dato’ Haji Kamaruddin Seksyen 51A, Masjid Ara Damansara dan Masjid As-Salam menerima sumbangan RM200 setiap seorang, bersama biskut raya dan baucar beli-belah bernilai RM130.


Sementara itu, 100 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan yang dikenal pasti melalui pangkalan data e-Kasih menerima sumbangan RM300 setiap seorang serta biskut raya bagi persediaan menyambut Aidilfitri.
Sebagai tanda penghargaan, Datuk Bandar Petaling Jaya turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 11 rakan penaja yang menyumbang dan menyokong penganjuran program tersebut.


MBPJ berkata kerjasama bersama sektor korporat itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti serta memupuk budaya keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Program tersebut juga selaras dengan Pelan Strategik MBPJ 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan sosial inklusif dan kesejahteraan komuniti melalui kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *