Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ingin
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat
dalam memastikan kelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
(SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026. Skim yang berkuat kuasa selama 15 hari
bermula 14 hingga 28 Mac 2026 ini telah mencapai objektif utamanya dalam
membantu menangani kos sara hidup rakyat sepanjang musim perayaan.


Langkah ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan dalam memelihara
kesejahteraan masyarakat terutamanya ketika sambutan perayaan Tahun
Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang bersilih ganti.
Bagi memastikan kestabilan harga di pasaran, KPDN telah melipatgandakan
usaha pemantauan dengan menjalankan sebanyak 13,194 pemeriksaan di
seluruh negara iaitu peningkatan yang ketara berbanding 7,258 pemeriksaan
pada tahun 2025. Kehadiran anggota penguat kuasa di peringkat pengeluar,
pemborong dan peruncit adalah bertujuan untuk memastikan peniaga kekal
patuh ketika SHMMP ini.
Berdasarkan pemantauan pelaksanaan, sebanyak 896 kes tindakan telah
diambil dengan nilai kompaun berjumlah RM99,800.00. Nilai sitaan yang
direkodkan pula adalah sebanyak RM32,015.70. Daripada jumlah tersebut,
kesalahan utama melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah
jambu mencatatkan sebanyak 892 kes. Selain itu, hanya 2 kes direkodkan bagi
kesalahan tiada tanda harga, manakala 2 kes lagi melibatkan kesalahan
menjual melebihi harga maksimum.
Meskipun terdapat peningkatan tindakan kes, majoriti peniaga di seluruh
negara tetap menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi dan mematuhi harga
maksimum bagi 27 jenis barangan terkawal yang diwartakan. KPDN
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak industri dan para
peniaga atas komitmen mereka dalam menjayakan skim ini.


