SEPANG, 2 April 2026 – Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang pertama bagi tahun 2026 telah dipengerusikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, di sini hari ini.

Platform MExUnity ini berperanan sebagai medium penting untuk menyelaraskan inisiatif perpaduan di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam menangani isu-isu sensitif serta konflik komuniti.
Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam (GPP RIBI)
Dalam mesyuarat tersebut, pihak kementerian telah dimaklumkan berhubung Draf Garis Panduan Perancangan Rumah Ibadat Bukan Islam (GPP RIBI) yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Draf berkenaan merangkumi tiga komponen utama iaitu Mekanisme Perancangan, Mekanisme Pembangunan dan Mekanisme Pelaksanaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI). Draf ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-87 pada 12 Mac 2026 sebagai kertas makluman dan bakal dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, pemakaian garis panduan ini dijangka dapat memperkukuh mekanisme perancangan, pembangunan dan pelaksanaan RIBI dengan lebih telus, sistematik dan berstruktur.
“Ia juga diharap dapat mempertingkat keberkesanan koordinasi antara pihak kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat, sambil memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri,” ujar beliau.
12 Pusat Mediasi Komuniti Baharu Ditempatkan di 10 Negeri, 2 Wilayah Persekutuan
Dalam usaha menangani konflik akar umbi di peringkat komuniti, Kementerian Perpaduan Negara turut memaklumkan bahawa ia sedang memperhalusi penubuhan 12 buah Pusat Mediasi Komuniti baharu yang melibatkan 10 negeri serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Labuan.
Pusat mediasi ini akan menyediakan perkhidmatan percuma kepada individu atau pihak yang terlibat dalam pertikaian, bagi mendapatkan bantuan profesional untuk mencari penyelesaian terbaik tanpa beban kos.
Antara isu yang sering ditangani termasuk pertikaian kejiranan, gangguan bunyi, pergaduhan antara jiran, masalah tempat letak kenderaan serta isu alam sekitar komuniti. Dengan adanya pusat mediasi ini, konflik-konflik kecil dapat diselesaikan secara damai sebelum ia menjadi lebih besar dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
PRISMA: Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat
Mesyuarat turut bersetuju dengan penubuhan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) sebagai platform integrasi nasional yang melambangkan anjakan paradigma Kerajaan MADANI dalam mentransformasikan pengurusan isu perpaduan secara lebih menyeluruh, proaktif dan berpusatkan data.
PRISMA akan mewujudkan sinergi utuh antara inovasi pendigitalan pelaporan melalui e-Sepakat dan RAKAN, penyelarasan strategik rentas agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta kelangsungan intervensi sosial.
Pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government approach) yang menghubungkan rantau tindakan dari akar umbi hingga ke peringkat nasional ini merupakan perisai yang ampuh bagi mendepani cabaran siber dan fizikal pada masa hadapan.
Ia sekaligus menjamin kelestarian keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.



